Pelajar OKU pertuturan jadi 'tok jogho' dikir barat

Muhammad Rafie diberikan kepercayaan memegang watak sebagai tok jogho ketika persembahan dikir barat yang diadakan baru-baru ini.
Muhammad Rafie diberikan kepercayaan memegang watak sebagai tok jogho ketika persembahan dikir barat yang diadakan baru-baru ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Pelajar kelas pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot mengetepikan kekurangan yang ada pada diri dengan menyerlahkan potensi dan bakat melalui penyertaan dalam aktiviti dikir barat.

Muhammad Rafie Rosli, 18, yang mengalami masalah komunikasi (pertuturan dan bahasa) diberikan kepercayaan menjadi 'tok jogho' atau tukang karut bagi mengemudi pasukannya pada program terapi dikir barat yang diadakan selama lima bulan bermula 24 Ogos 2023 sehingga 31 Januari lalu.

Menurut Muhammad Rafie, dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk terlibat dalam bengkel tersebut serta dapat menonjolkan bakat yang ada dalam dirinya.

Muhammad Rafie (tengah) menerima sijil penyertaan dan hadiah disampaikan Suriati sempena majlis penutup bengkel yang diadakan di Dataran Kompleks Sanggar Siswa, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu pada Isnin.
Muhammad Rafie (tengah) menerima sijil penyertaan dan hadiah disampaikan Suriati sempena majlis penutup bengkel yang diadakan di Dataran Kompleks Sanggar Siswa, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu pada Isnin.

"Selain dapat mencungkil bakat saya bersama rakan-rakan, bengkel ini dapat menghilangkan tekanan disebabkan beberapa faktor akibat ketidakupayaan yang dialami.

"Saya harap pihak UMT (Universiti Malaysia Terengganu) dapat mengadakan lagi aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan golongan seperti kami," katanya yang turut mengalami masalah gangguan emosi dan tingkah laku.

Selain Muhammad Rafie, turut berperanan sebagai tok jogho ialah Muhammad Danish Asyraaf Mohd Yusuff, 17.

Seramai 20 pelajar berusia 14 hingga 18 tahun dan empat guru pengiring dari SMK Kompleks Mengabang Telipot, Wakaf Tengah di sini terlibat dalam bengkel yang dikendalikan di bawah bimbingan ketua projek, Dr Azlina Musa.

Artikel Berkaitan:

Bengkel berkenaan dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) serta Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar dengan kerjasama SMK Kompleks Mengabang Telipot.

Menurut Azlina, objektif pelaksanaan bengkel tersebut sebagai terapi diri dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar pendidikan khas dalam aspek teori dan praktikal menerusi aktiviti kebudayaan itu.

Selain itu, katanya, ia dapat memupuk keyakinan diri golongan itu setiap kali berdepan dengan masyarakat, kesamarataan dalam pendidikan serta menggarap generasi masa depan yang menghargai kesenian tradisional.

"Bengkel ini dapat menghilangkan perasaan rendah diri pelajar pendidikan khas apabila berada bersama-sama dengan masyarakat di samping dapat memberi peluang pendidikan yang sama rata kepada mereka.

"Rata-rata peserta ialah mereka yang mengalami masalah kecacatan mental, masalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi (pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas," katanya pada Rabu.

Muhammad Danish Asyraaf (kanan) turut menerima sijil penyertaan dan hadiah sempena majlis penutup yang diadakan di Dataran Kompleks Sanggar Siswa, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu.
Muhammad Danish Asyraaf (kanan) turut menerima sijil penyertaan dan hadiah sempena majlis penutup yang diadakan di Dataran Kompleks Sanggar Siswa, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu.

Jelas beliau, dikir barat atau dikir karut merupakan kesenian hiburan rakyat dan warisan budaya Melayu yang harus dipertahankan.

Ujarnya, ia bukan sahaja berfungsi sebagai alat untuk berhibur, malahan merupakan medium menyampaikan nasihat, pengajaran, pendidikan, amanat dan gagasan kepada masyarakat.

Sementara itu, Pegawai Pusat Kebudayaan dan Kesenian, UMT, Suriati Khalid berkata, kolaborasi antara pelajar pendidikan khas SMK Kompleks Mengabang Telipot dan UMT merupakan inisiatif bagi mengukuhkan kecemerlangan pendidikan negara.

Katanya bengkel ini juga merangkumi kursus dikir barat yang akan memberikan sijil kepada peserta yang bukan sahaja merupakan pengiktirafan tetapi juga aset yang boleh memperkukuhkan portfolio professional peserta yang terlibat.

Dikir barat merupakan terapi yang mampu menghilangkan tekanan bagi golongan pelajar kurang upaya.
Dikir barat merupakan terapi yang mampu menghilangkan tekanan bagi golongan pelajar kurang upaya.

"Bengkel seumpama ini akan melahirkan peserta yang memiliki kompetensi yang lebih mendalam dalam aspek teori dan praktikal sekali gus dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran sepanjang hayat.

"Penganjuran persembahan dikir barat dapat mencapai bidang keupayaan sebagai seni hiburan yang mampu dipersembahkan oleh pelajar pendidikan khas," ujarnya.