Mengamuk sembur arak di kepala ibu, ugut cederakan isteri, anak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JEMPOL - Bukan saja bertindak menyembur arak di kepala ibunya, namun seorang lelaki mengugut mahu mencederakan ibu, isteri dan anak lelakinya menggunakan pisau serta parang dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Palong di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berusia 58, 32 dan 12 tahun itu berada dalam bilik.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba mereka terdengar suspek mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat, lalu suspek masuk ke bilik sambil membawa sebotol arak dan meminum air itu di hadapan kesemua mangsa.

"Suspek kemudiannya bertindak menyemburkan air itu di kepala ibunya, namun cuba dihalang oleh isterinya tetapi tidak diendahkan suspek sebelum dia keluar dari bilik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, susulan itu isterinya segera mengunci pintu bilik tersebut menggunakan selak pintu.

"Beberapa minit kemudian suspek datang semula di hadapan pintu bilik dan mengugut akan mencederakan sesiapa yang keluar daripada bilik tersebut menggunakan pisau dan parang.

"Berikutan itu, adik lelaki suspek memaklumkan kejadian itu kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

"Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu berjaya ditangkap pada hari sama jam 9 malam di rumah suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Chang Hook berkata, senjata yang didakwa untuk mencederakan mangsa pula tidak dirampas berikutan mangsa dan saksi hanya dengar ugutan suspek dan tidak nampak senjata tersebut.

"Saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

"Siasatan masih diteruskan," katanya.