Siapkan kerja atau berdepan denda RM100,000 sehari - Exco

Chon Siang dan Razali meninjau kawasan projek pembentungan yang dilakukan pada Selasa.
Chon Siang dan Razali meninjau kawasan projek pembentungan yang dilakukan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memandang serius projek pembetungan berpusat di Jalan Teluk Sisik dan sekitar Kuantan yang mengambil masa lama untuk disiapkan sehingga menyebabkan gangguan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang menegaskan bahawa kerajaan negeri sudah mengarahkan syarikat kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek terbabit menyiapkan kerja itu sebelum 30 April ini.

Menurutnya, sekiranya pihak terlibat gagal menyiapkan kerja seperti dijadualkan, kontraktor terbabit bakal berdepan denda sebanyak RM100,000 sehari.

"Jadi, saya harap mereka siapkan seperti dijadualkan sebab projek ini sudah lama, sudah banyak tahun tapi masih belum siap.

"Kita pun selalu dengar rungutan pengguna jalan raya, banyak laluan rosak dan mendap.

"Jadi kalau projek ini tak siap, masalah jalan akan berterusan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek itu di sekitar Lorong Seri Kuantan, di Jalan Teluk Sisek pada Selasa

Tinjauan itu turut disertai Pengurus Besar Jalur Cahaya, Razali Mohamed.

Razali (kanan) memberitahu Chon Siang bahawa pemakluman sudah dibuat menerusi gegantung yang diletakkan di laluan Teluk Sisik di sini.
Razali (kanan) memberitahu Chon Siang bahawa pemakluman sudah dibuat menerusi gegantung yang diletakkan di laluan Teluk Sisik di sini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Chon Siang memberitahu bahawa projek berkenaan bermula tahun 2018 sepatutnya siap tahun lalu, namun pihak kontraktor berjaya mendapatkan penangguhan tempoh penyerahan projek berikutan masalah luar jangka dihadapi mereka di tapak pembinaan.

Antara masalah tersebut melibatkan aliran air bawah tanah yang menjadi punca utama berlaku mendapan tanah di beberapa lokasi pembinaan projek itu.

Sementara itu, Razali mengakui, terdapat beberapa lokasi bermasalah berikutan aliran bawah tanah terlalu laju sehingga projek berkenaan tidak dapat disiapkan segera oleh pihaknya.

Untuk pembetungan, pihaknya perlu menggali antara 10 hingga 15 meter, namun terpaksa dihentikan berikutan aliran air bawah tanah dikhuatiri boleh mengakibatkan mendapan lebih teruk jika kerja pengorekan diteruskan.

"Tapi kita akan pastikan semua boleh disiapkan April ini," katanya.

Selain itu, Razali turut memberi jaminan bahawa semua bangunan rosak atau struktur yang retak susulan kerja dilakukan pihaknya akan dibaiki dan kos ditanggung pihaknya.

Projek pembetungan Kuantan yang bernilai RM570 juta bertujuan meningkatkan taraf perkhidmatan pembetungan dan menambah baik kualiti alam sekitar.

Projek itu bermula pada Februari 2018 dengan jangkaan awal siap pada Februari 2022.

Bagaimanapun, Jalur Cahaya selaku kontraktor projek memaklumkan antara punca kelewatan projek itu ialah pandemik Covid-19, masalah aliran air bawah tanah yang luar biasa sehingga menyukarkan kerja pengorekan dan merosakkan mesin selain berlaku runtuhan tanah.