Tekad As Sofa lahirkan 5,000 huffaz al-Quran menjelang 2034

SEBAHAGIAN para huffaz As Sofa yang diraikan dalam sebuah majlis di ibu negara pada Isnin.
SEBAHAGIAN para huffaz As Sofa yang diraikan dalam sebuah majlis di ibu negara pada Isnin.
A
A
A

SELEPAS berjaya melahirkan 500 huffaz al-Quran sejak penubuhannya hampir 27 tahun, Kumpulan Pendidikan Sofa berhasrat menggandakan jumlah itu kepada 5,000 orang menjelang tahun 2034.

Matlamat utamanya tidak lain tidak bukan, demi melahirkan generasi penuntut yang memiliki kesucian hati hasil semaian akidah, ibadah dan sahsiah luhur berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan Sofa, Ustaz Amirul Isma Md Yusof berkata, kelompok berkenaan bukan sekadar menghafaz 30 juzuk al-Quran semata-mata, tetapi berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Buktinya, seramai 500 huffaz yang dilahirkan itu pakar dalam cabang al-Quran dan hadis, malah ada yang bergelar doktor dan melata dalam pelbagai lapangan lain.

KUMPULAN Pendidikan Sofa mahu melahirkan lebih ramai lagi golongan huffaz al-Quran pada masa akan datang demi membina generasi al-Quran dan berpengetahuan.
KUMPULAN Pendidikan Sofa mahu melahirkan lebih ramai lagi golongan huffaz al-Quran pada masa akan datang demi membina generasi al-Quran dan berpengetahuan.

“Bayangkan, betapa bertuahnya kita jika tangan doktor yang merawat di hospital atau klinik ialah hafiz al-Quran. Begitu juga akauntan mahupun juruwang.

“Apatah lagi andai melibatkan pemimpin yang akan mentadbir kelak adalah daripada kalangan huffaz al-Quran. Inilah yang kami cuba martabatkan agar generasi akan datang dipenuhi ahli ilmu dan al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan media sempena majlis meraikan kejayaan 500 huffaz As Sofa yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada acara itu, majlis dimulakan dengan alunan zikrullah dan qasidah menyambut para pelajar huffaz yang diraikan.

Sementara itu, pengarah program, Dr Mohd Sufi Ibrahim berkata, acara itu merupakan simbolik mercu kejayaan Kumpulan Pendidikan Sofa dan seluruh institusi As Sofa yang dinaungi sepenuhnya oleh Yayasan Sofa selama 25 tahun sebagai institusi pendidikan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

“Para huffaz di sini bukan hanya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran, tetapi turut mengkhatamkan pembacaan kitab Sahih al-Bukhari yang mengandungi sebanyak 7,000 hadis,” katanya yang juga merupakan pelajar pertama tamat menghafaz al-Quran di As Sofa.

SEBAHAGIAN huffaz As Sofa diraikan dalam satu majlis di Kuala Lumpur. Mereka bukan sekadar menghafaz 30 juzuk al-Quran semata-mata, tetapi turut berkemahiran dalam pelbagai bidang.
SEBAHAGIAN huffaz As Sofa diraikan dalam satu majlis di Kuala Lumpur. Mereka bukan sekadar menghafaz 30 juzuk al-Quran semata-mata, tetapi turut berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Program itu turut dihadiri ulama ahli Sunnah Wal Jamaah terkemuka dunia antaranya Prof Dr Sayyid Toha al-Idrisi, Sayyid Khalid al-Idrisi dan Sayyid Walid al-Idrisi, selain Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa, Dato’ Muhammad Fuad Kamaludin.

Sehingga kini, Kumpulan Pendidikan Sofa telah menubuhkan 18 buah institusi berteraskan al-Quran bermula dari peringkat tadika di Tadika Aulad As Sofa hinggalah peringkat pengajian tinggi, Kolej Islam As Sofa.