Belajar taranum al-Quran, ‘hadiah’ untuk arwah ibu bapa

Muhammad Haifan (kanan) membaca al-Quran sambil diperhatikan oleh Nur Maslina (kiri).
Muhammad Haifan (kanan) membaca al-Quran sambil diperhatikan oleh Nur Maslina (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Kerinduan mendalam terhadap ibu bapa yang sudah lama meninggal dunia menyebabkan seorang yatim piatu di sini tekad mempelajari ilmu taranum al-Quran untuk ‘dihadiahkan’ kepada kedua-dua arwah orang tuanya.

Muhammad Haifan Ariffin, 13, anak bongsu daripada dua beradik sudah kematian ibu, Hanita Ismail pada tahun 2020 kerana sakit buah pinggang dan disusuli bapanya yang dikenali sebagai Ariffin pada tahun 2021 kerana penyakit asma.

Muhammad Haifan berkata, dia mula belajar membaca al-Quran sejak usia masih kecil dan mengikuti kelas taranum di tempat tinggalnya di Rumah Harapan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim (Yaatim) Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini.

“Sekarang saya mengaji di juzuk enam dan pada masa sama belajar untuk kuasai bacaan secara taranum bersama 12 lagi rakan di Yaatim.

Muhammad Haifan (tengah) bermain bersama rakan-rakan di Yaatim.
Muhammad Haifan (tengah) bermain bersama rakan-rakan di Yaatim.

“Saya minat membaca al-Quran bertaranum dan mahu ‘menghadiahkan’ bacaan saya ini kepada arwah ibu bapa yang sangat dirindui,” katanya ketika ditemui di Yaatim semasa Program Kesihatan Oral di sini pada Sabtu.

Muhammad Haifan mempunyai seorang abang, Muhammad Haikal Abdullah, 14, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan tinggal berasingan di rumah anak yatim lain di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (Pekayatim) Jalan Bayam di sini.

Ujar Muhammad Haifan, keadaan nasibnya yang sudah hilang tempat bergantung menyebabkan dia reda tinggal berasingan dengan abangnya yang perlu penjagaan di rumah anak yatim tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Abang OKU pembelajaran dan perlu tinggal di sana, manakala saya di Yaatim, tetapi mana-mana tempat pun sama, saya pun gembira tinggal di sini kerana ramai kawan.

“Kami masih ada nenek di Kok Keli, Tumpat tetapi dia uzur dan sudah tidak mampu untuk menjaga kami,” katanya.

Muhammad Haifan berkongsi cita-citanya menjadi anggota bomba kerana mahu berbakti kepada masyarakat selain menyukai pekerjaan beruniform.

Sementara itu, Pengetua Rumah Putra dan Putri Harapan Yaatim, Nur Maslina Mohd Noor berkata, sehingga kini, terdapat 105 penghuni di Yaatim terdiri daripada asnaf dan anak-anak yatim.

Muhammad Haifan (dua dari kiri) mengikuti kelas belajar taranum al-Quran.
Muhammad Haifan (dua dari kiri) mengikuti kelas belajar taranum al-Quran.

Kata beliau, kesemua mereka diwajibkan membaca al-Quran bersama ustaz setiap kali selepas selesai solat Maghrib.

“Muhammad Haifan ini antara penghuni Yaatim yang berkebolehan dalam bacaan al-Quran bertaranum.

“Dia antara empat terbaik dan akan dihantar mengikuti kursus bagi meningkatkan lagi bacaan taranumnya ke tahap lebih baik,” katanya.