ASP, Sarjan ditahan disyaki menyamun

Mazli
Mazli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai dan anggota polis ditahan berhubung kes samun terhadap seorang lelaki tempatan di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak Petronas di Wakaf Tembesu, dekat sini pada 1 Februari lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan jenayah samun itu yang dilakukan oleh pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) serta seorang lagi anggota berpangkat sarjan.

"Pada 3 Februari lalu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak berhubung kejadian terbabit pada jam 1.16 petang.

"Mangsa memaklumkan bahawa dia telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke mesin ATM Petronas Wakaf Tembesu pada 1 Februari lalu untuk mengeluarkan duitnya sebanyak RM5,000.

"Hasil siasatan pihak polis melalui pengecaman gambar menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek itu telah dikenal pasti sebagai pegawai polis," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mazli berkata, sejurus laporan dibuat pihak polis telah berjaya menangkap suspek pertama pada hari sama manakala suspek kedua pula ditahan pada 4 Februari lepas.

Menurutnya, suspek pertama telah direman selama tujuh hari manakala suspek kedua pula direman selama empat hari bagi siasatan lanjut.

Ujar Mazli, kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa pihak polis memandang serius terhadap penglibatan jenayah dalam kalangan pegawai polis terutama melibatkan kontinjen Terengganu.

"Kita akan komited dalam menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang supaya penjenayah dapat dihadapkan ke mahkamah," jelasnya.