Kes samun, bunuh warga emas: Mangsa dijerut guna kain pelekat

Lokasi warga emas ditemukan mati akibat dijerut menggunakan kain pelekat dalam kejadian samun di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil pada Ahad. - Foto PDRM
Lokasi warga emas ditemukan mati akibat dijerut menggunakan kain pelekat dalam kejadian samun di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil pada Ahad. - Foto PDRM
A
A
A

BALING - Warga emas yang maut dibunuh dalam kejadian samun di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil pada Ahad, dijerut menggunakan kain pelekat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Ahad itu, suspek dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa sebelum bertindak menyamun dengan melarikan seutas rantai emas, sebentuk cincin yang dipakai dan dompet mangsa.

"Bukan tali (untuk dijerut) tetapi guna kain pelekat sahaja, dipercayai milik mangsa sendiri," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa tangan dan kaki mangsa turut diikat menggunakan kain pelekat.

Beliau menambah, setakat ini, dua suspek telah direman selama enam hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 71 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dengan keadaan leher dijerut serta tangan dan kakinya diikat.

Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri di sebuah rumah teres setingkat dan berpagar di taman berkenaan selepas kematian isteri lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang kesan pecah rumah dijumpai di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang tidak sedarkan diri ditemukan atas katil bilik utama rumah terbabit.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.