Hanipa Maidin tolak cabaran debat dengan Najib

Hanipa Maidin, Najib
Hanipa Maidin, Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menolak cabaran berdebat secara terbuka berkaitan kes SRC International oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Hanipa yang juga bekas Ahli Parlimen Sepang berkata, ini kerana pelawaan tersebut didakwa sebagai ‘helah’ bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengelak rakyat bercakap mengenai isunya yang telah diberi separa keampunan daripada Lembaga Pengampunan serta ingin menunjukkan beliau masih relevan.

“Meskipun saya berterima kasih atas jemputan daripada beliau (Najib), namun saya menolaknya (jemputan) kerana tidak nampak sebarang keperluan untuk berdebat.

“Saya rasa keyakinan rakyat bahawa beliau adalah sesungguhnya bersalah, tidak mungkin tergugat walaupun wujudnya ratusan debat dengan beliau apabila tiga mahkamah telah sepakat untuk memutuskan beliau bersalah,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, wakil kepada bekas Presiden UMNO itu mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib untuk berdebat secara terbuka berkaitan kes SRC International.

Pada Isnin, Ramkarpal dilapor enggan melayan cabaran debat terbuka yang dibuat pengendali akaun Facebook bekas Perdana Menteri tersebut selain menyifatkan hantaran itu sekadar meraih publisiti murahan.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berasa aneh apabila Najib yang telah disabitkan bersalah atas pertuduhan jenayah yang melibatkan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mudah memberikan kenyataan seolah-olah beliau bukan banduan.

Jelasnya, tindakan tersebut amat memalukan sebagaimana beliau telah memalukan dan menyusahkan negara serta rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pasti adakah kenyataan beliau mendapat perkenaan dan izin daripada pihak penjara?

“Saya harap ada wakil rakyat yang bertanya soalan ini di sidang Parlimen nanti,” ujarnya.

Mohamed Hanipa mengakui amat suka dan gemar berdebat, namun beliau merasa tidak perlu melayan pelawaan debat daripada Najib atau jemputan seorang banduan apa lagi berdebat di televisyen.

“Saya tidak pasti adakah banduan ini penuh sedar bahawa beliau hakikatnya bukan lagi seorang Perdana Menteri atau individu bebas untuk mempelawa mana-mana orang lain berdebat dengannya,” tegasnya.