Guru besar antara 4 ditahan SPRM kes tuntutan palsu lebih RM1.3 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu dipercayai berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di negeri itu bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, empat individu yang ditahan berhubung kontrak pembekalan makanan bernilai RM1.3 juta membabitkan seorang guru besar, ketua pembantu tadbir dan dua orang pengurus syarikat yang terbabit sama.

Katanya, satu operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Terengganu mendapati kesemua suspek berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula dari 2022 sehingga 2023.

Menurutnya, dokumen palsu tersebut melibatkan tuntutan ke atas 100 orang murid, sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

"SPRM Terengganu dalam operasi sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah sama.

"Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an telah ditahan di pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 11 pagi pada Isnin," katanya pada Isnin.

Tambahnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada pagi Selasa bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta tidak menafikan tangkapan susulan berkaitan siasatan tersebut.