Dada berasa 'ketat', tapi saya pilih untuk hadap - Azizulhasni

Azizulhasni (tengah) meraih pingat emas kejuaraan keirin lelaki Kejohanan Piala UCI di Adelaide, Australia pada Sabtu.
Azizulhasni (tengah) meraih pingat emas kejuaraan keirin lelaki Kejohanan Piala UCI di Adelaide, Australia pada Sabtu.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan rahsia di sebaliknya kejayaannya meraih pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Australia pada Sabtu.

Sebagai seorang atlet, beliau menegaskan bahawa pilihan berada dalam tangan sama ada mahu mengalah atau terus berjuang biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan.

Malah beliau yang perlu mengambil ubat perikarditis (keradangan jantung) menjelaskan ketika berlumba kesakitan masih terasa dan dada berasa 'ketat'.

“Jadi sakit ke tak ketika berlumba?

Ya, kesakitan itu masih ada, rasa dada ketat, susah untuk bernafas dan rasa yang tidak selesa. Rasa sakit juga di sternum tempat dada saya dipotong dahulu.

“Tapi saya masih pilih untuk hadap, hasil degil dari kecil sampai ke tua.

Azizulhasni mengungguli acara keirin UCI di Adelaide pada Sabtu. Foto EPA
Azizulhasni mengungguli acara keirin UCI di Adelaide pada Sabtu. Foto EPA

“Jadi macam mana masih boleh berlumba dan menang?

Artikel Berkaitan:

Asasnya, bila kita tidak memberikan pilihan kepada diri untuk mengalah, satu-satunya pilihan yang kita ada adalah untuk terus berjuang.

“Jujur saya bagi tahu yang saya berada di luar zon selesa ketika perlumbaan,” catat beliau menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam saingan akhir itu Azizulhasni tampak bersahaja apabila kayuhannya mengatasi dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota, masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu melepasi garisan penamat dengan catatan 9.910 saat dalam acara yang berlangsung di Adelaide Super-Drome.

Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman turut menyifatkan saingan final acara tersebut sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

“Perlumbaan akhir Keirin tempoh hari memang Unbelievable!

Kalau tanya saya sekarang, saya pun tak tahu dan tak percaya macam mana semua itu boleh berlaku.

Azizulhasni bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Australia pada Sabtu. Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Australia pada Sabtu. Foto FB Azizulhasni Awang

“Bagi saya ia adalah berkat doa ibu di kampung, juga berkat doa isteri dan anak-anak di rumah serta ahli keluarga yang lain.

“Oh ya, mungkin juga rezeki baby (bayi) baru saya dan isteri, Amna Aseeya,” katanya.

Beliau juga sedar bahawa dalam kehidupan sama ada seseorang itu bergelar atlet atau sebaliknya pasti akan diundang dengan pelbagai cabaran dan kesusahan

“Kita pasti didatangi dengan pelbagai ujian dan kesusahan.

Ia terpulang kepada kita untuk mengalah atau terus bangkit melawan.

“Saya harap semua yang membaca perkongsian ini boleh doakan agar saya sentiasa diberikan kesihatan yang terbaik dan dipermudahkan segalanya untuk ke Olimpik Paris 2024. Insya-ALLAH. Terima kasih semua,” ujar Azizulhasni.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!