Sarjan mengaku tidak salah ambil rasuah RM2,000

Tertuduh (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin.
Tertuduh (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang sarjan polis tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil rasuah sebanyak RM2,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang suspek kes pengedaran dadah di Kudat.

Tertuduh, Zakaria Mohd Jasni, 40, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Jason Juga di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin.

Menurut pertuduhan, tertuduh pada jam 12.20 tengah hari 18 Jun 2021 di sebuah restoran di Kudat sebagai sarjan di Jabatan Siasatan Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, secara rasuah cuba untuk memperoleh suapan iaitu wang sebanyak RM 2,000.

Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank milik individu lain sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung pengedaran dadah yang dilakukan oleh seorang individu di daerah itu.

Sehubungan itu,tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bersama wang deposit RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan bagaimanapun tertuduh diminta untuk melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan.

Selain itu, tertuduh diarahkan untuk tidak menganggu saksi serta pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: