Contohi semangat juang tinggi Azizulhasni

Azizulhasni meraih pingat emas kejuaraan keirin lelaki Kejohanan Piala UCI di Adelaide, Australia pada Sabtu. Gambar kecil: Stuart, Ramlan
Azizulhasni meraih pingat emas kejuaraan keirin lelaki Kejohanan Piala UCI di Adelaide, Australia pada Sabtu. Gambar kecil: Stuart, Ramlan
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang disifatkan antara segelintir atlet mempunyai daya usaha dan semangat juang tertinggi terhadap kariernya.

Malah, Penyelaras Program Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam menegaskan karakter luar biasa ditampilkan Azizulhasni seharusnya dicontohi atlet berprestasi tinggi lain negara tidak hanya untuk Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi juga Los Angeles 2028.

“Biarpun cabaran kecederaan yang beliau hadapi, tapi beliau sentiasa tabah bangkit melawan membuktikan dedikasi terhadap matlamat kariernya.

“Sekalung tahniah kepada Azizulhasni dan juga jurulatihnya, John Beasley atas pencapaian memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI.

“Pada ketika kami konsisten memberi sokongan kepada Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta John Beasley, kami juga berharap mereka berada di landasan terbaik bagi beberapa bulan akan datang,” katanya.

Azizulhasni sebelum itu membuktikan dirinya masih berupaya menjadi pencabar di Paris 2024 apabila cemerlang merangkul kejuaraan keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia pada Sabtu.

Perlumbaan di Super-Drome itu, menyaksikan The Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan bertenaga mengetepikan cabaran dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota untuk memperoleh emas pertamanya tahun ini sekali gus memberi mata untuk ke pentas Paris 2024, Julai ini.

Mengulas penarikan diri Azizulhasni dari perlumbaan penentuan pingat gangsa dalam acara pecut individu setelah mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir di Adelaide Super-Drome, Ahad, Stuart menyifatkan keputusan pelumba tersebut sebagai tindakan yang tepat.

Artikel Berkaitan:

“Saya tahu tentang perkara ini dan Azizulhasni mengendalikan situasi fizikal dihadapinya dengan bijak. Tanda kematangan yang baik dan membuat keputusan yang praktikal,” ujar Stuart.

Contoh terbaik kepada atlet berprestasi tinggi negara

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz juga mahu semangat juang Azizulhasni dicontohi semua atlet prestasi tinggi lain negara.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Azizulhasni kerana memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide.

“Saya doakan agar Azizulhasni dapat meningkatkan prestasinya dengan gigih bagi memburu mata untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Satu keazaman tinggi yang seharusnya dicontohi semua atlet berprestasi tinggi negara sekiranya kita menyelusuri pelbagai rintangan diharungi Azizulhasni termasuk pembedahan jantung pada tahun 2022 dan kecederaan akibat terjatuh di trek sebelum Sukan Asia Hangzhou tahun lalu,” katanya yang juga Penasihat Teknikal Sekretariat RTG.

Mengenai penarikan diri Azizulhasni, Ramlan berkata, “Keputusan Azizulhasni untuk menarik diri bagi mendapatkan rawatan dan berehat sehingga pulih sepenuhnya adalah tepat dan terbaik sekali.

“Selepas itu beliau perlu mendapat lampu hijau daripada pakar jantung untuk kembali berlatih dan seterusnya bertanding seperti biasa.”

Terima kasih kerana memahami, beri galakan - Azizulhasni

Azizulhasni sebelum itu terlepas peluang menambah pingat di Adelaide apabila terpaksa menarik diri daripada acara pecut akibat simptom perikarditis.

Pelumba berusia 36 tahun itu terpaksa meninggalkan aksi penentuan pingat gangsa berdepan pelumba tuan rumah Matthew Glaetzer, selepas mengalami simptom itu pada pusingan separuh akhir selepas dinasihati menarik diri bagi mengelakkan terlalu membebani jantungnya.

“Biarpun (berdepan) cabaran-cabaran ini, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya berikan yang terbaik dalam pecut hari ini.

“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua pihak dan saya minta maaf kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

“Sekarang, fokus saya adalah pada pemulihan dan saya akan kembali berlatih secepat mungkin sebaik sahaja saya cergas semula. Terima kasih semua kerana memahami dan memberi galakan,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial.

INFO

Perikardirtis ialah radang tisu perikardium (selaput berisi cairan yang menyelaputi jantung) yang menyebabkan kesakitan pada dada.