Zaid Ibrahim pertahan Hassan, tidak salah ada pandangan berbeza

Zaid Ibrahim, Hassan Karim
Zaid Ibrahim, Hassan Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mempertahankan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim selepas ditegur supaya tidak memberi komen menggores hati terhadap parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kebanyakan pemimpin kini mudah melatah sehingga memberikan respon yang tidak wajar kepada kenyataan yang dibuat oleh Hassan.

“Apa salahnya beri teguran mesra? Pemimpin kita ini mudah sangat tersentuh sampai ke tahap reaksi tidak wajar terhadap kenyataan Hassan, macam mereka mahu kenakan tindakan terhadapnya.

“Jangan macam itu. Bagus kita ada ahli Parlimen yang ada pandangan bernas, (mereka) tak banyak tinggal,” katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Ahad.

Sebelum ini, Hassan mengakui bersedia dan terbuka sekiranya Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin mengambil tindakan disiplin termasuk memecat dirinya susulan kelantangan beliau bersuara dalam pelbagai isu ketika ini.

Menurut Hassan yang juga wakil rakyat PKR, beliau tidak sesekali gentar dalam mempertahankan hak bersuara mengenai pelbagai perkara termasuk menyentuh perihal parti sekutu Kerajaan Perpaduan.

Beliau dalam masa sama beranggapan tindakan Ketua Penerangan PKR yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegur anggota parti lantang bersuara juga wajar.

Dalam pada itu, Zaid berkata, beliau menggemari bekas Ahli Parlimen seperti Khairy Jamaluddin, Tony Puan dan Ong Kian Ming.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak semestinya bersetuju dengan semua yang mereka katakan, tapi tidak mengapa. Nasib baik, kita masih ada ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Hassan dan beberapa daripada Perikatan Nasional yang boleh menyumbang idea baik.

“Tiada keperluan mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai pandangan bertentangan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mempersoal tahap toleransi kerajaan yang disifatkan 'membimbangkan' terhadap rakyat yang mahu menyuarakan pandangan, merujuk kepada keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam kes Najib Razak.