Keputusan pengampunan Najib munasabah, perlu dihormati - Hassan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak bersabit kes SRC International pada Jumaat disifatkan sebagai munasabah, berpatutan dan perlu dihormati.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan itu tidak boleh dicabar sama ada bersetuju ataupun tidak di mahkamah dan tetap tidak boleh dibicarakan termasuk jika Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat Lembaga Pengampunan atau sebaliknya.

"Ini kerana kuasa membuat keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah bersifat kuasa budi bicara baginda dengan syarat sebelum Agong membuat keputusan tersebut, satu mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan dipengerusikan oleh baginda.

"Sama ada kita bersetuju atau tidak tentang hal semacam ini, itu adalah persoalan lain. Tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima sebagai sebuah negara walaupun demokrasi berparlimen, tetapi masih mengekalkan saki baki sistem feudal yang bersifat raja berperlembagaan.

"Satu hal perlu disedari bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong adalah Mahkamah Belas Ehsan (court of mercy) bukannya mahkamah undang-undang biasa (court of laws)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

Dalam satu kenyataan, lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mengulas lanjut, Hassan menghormati dan menerima keputusan berkenaan kerana Lembaga Pengampunan secara hakikinya tidak memberikan pengampunan terhadap sabitan kesalahan yang telah diputuskan mahkamah sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam undang-undang ada dua perkara apabila seseorang dihukum oleh mahkamah. Pertama orang yang dituduh itu disabitkan bersalah. Kunci perkataannya ialah sabitan atau 'conviction' dalam bahasa Inggeris. Selepas disabit bersalah maka orang yang dituduh itu dijatuhkan hukuman ke atasnya. Kata kuncinya ialah hukuman atau 'sentencing'. Ini berlaku jika si tertuduh itu didapati bersalah," katanya.

Jelasnya, keputusan Lembaga Pengampunan tidak melepaskan Najib dan sabitan bersalah ke atasnya tetap kekal, apa yang diringankan ialah jumlah hukuman dari 12 tahun kepada 6 tahun sahaja, selain itu jumlah denda RM200 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

"Dalam isu pengurangan tahun penjara dan pengurangan kuantum denda, jika sesiapa hendak pertikai, boleh sahaja dibahaskan tetapi soal teras dan asas yang perlu dilihat ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan yang mendapati selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan dan semakan bahawa sesungguhnya di atas neraca keadilan Datuk Najib Razak adalah bersalah dan sabitan bersalah itu tidak diberikan Pengampunan," katanya.

Hassan yang juga anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib itu akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agensi memerangi rasuah SPRM untuk meneruskan komitmen membasmi amalan rasuah.

Tambahnya, keputusan Lembaga Pengampunan yang teguh mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib telah menghantar isyarat yang jelas kepada mahkamah supaya terus kekal mempertahankan kebebasan mahkamah undang-undang dalam soal keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih.