Bomba bawa turun mayat lelaki lebih 100kg dari hotel bajet

Mayat lelaki yang beratnya lebih 100kg dibawa turun oleh anggota bomba dari tingkat empat sebuah hotel Jalan Tok Lam, di sini hari ini.
Mayat lelaki yang beratnya lebih 100kg dibawa turun oleh anggota bomba dari tingkat empat sebuah hotel Jalan Tok Lam, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengambil masa hampir 20 minit membawa turun mayat seorang lelaki yang beratnya dianggarkan lebih 100 kilogram (kg) dari tingkat empat sebuah hotel bajet di Jalan Tok Lam, di sini hari ini.

Mayat lelaki berusia 50 tahun itu ditemui salah seorang pekerja di hotel berkenaan yang curiga setelah dua hari mangsa tidak keluar hotel tersebut, kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdullah Zawawi Mohamed berkata, keadaan ruang yang sempit di lokasi kejadian menyukarkan operasi membawa mangsa turun.

“Kami menggunakan stretcher (pengusung) untuk membawa turun mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi sebelum mengerahkan sembilan anggotanya ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pintu bilik hotel berkenaan berkunci dari dalam dan pihaknya bersama polis terpaksa memotong pintu berkenaan bagi mengeluarkan mangsa.

“Sebaik masuk di dalam bilik, mangsa ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan berselimut dan berhampirannya turut ditemui pelbagai jenis ubat dipercayai miliknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Punca kematian masih dalam siasatan,“ katanya.