Tak wajar kenakan cukai pintu kepada penduduk kampung - ADUN

Laporan Sinar Harian pada Jumaat (kiri), Noorazley
Laporan Sinar Harian pada Jumaat (kiri), Noorazley
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyifatkan pembatalan pengecualian cukai taksiran secara automatik kepada pemilik rumah di kampung baru, kampung Melayu dan kampung nelayan di negeri ini sebagai langkah membebankan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya berkata, kerajaan negeri seharusnya memikirkan langkah lebih efisien bagi membantu penduduk di kawasan kampung dan bukannya hanya melihat ia sebagai langkah penjimatan.

Beliau menegaskan, alasan kerajaan negeri menyatakan hanya mereka yang layak dikenakan cukai taksiran atau cukai pintu adalah alasan yang rapuh.

"Hal ini kerana sosioekonomi penduduk di kawasan kampung tidak begitu tinggi dan tidak wajar untuk kerajaan mengenakan cukai taksiran kepada mereka.

"Selain itu, syarat seperti pendapatan bulanan tidak melebihi RM5,000 juga amat mengelirukan kerana bagaimana pendapatan bulanan tersebut akan diukur, adakah melalui penyata pendapatan?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, kebanyakan penduduk di kawasan kampung bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap.

Tambahnya, jika ia dilihat dari sudut politik, kebanyakan kawasan kampung Melayu, kampung baru dan kampung nelayan terletak di kawasan utara Selangor.

"Adakah ini langkah kerajaan negeri menghukum penduduk di kawasan tersebut hanya kerana mereka menyokong Perikatan Nasional?

Artikel Berkaitan:

"Penduduk di kawasan kampung juga diminta untuk membuat permohonan dan rayuan sekiranya mereka merasakan layak untuk mendapat pengecualian cukai taksiran," tambah beliau.

Bagaimanapun katanya, rakyat mempersoalkan adakah mereka perlu membuat permohonan setiap tahun bagi pengecualian cukai taksiran dan jika itu dilaksanakan ia menunjukkan kegagalan tata kelola kerajaan negeri.

"Kerajaan seharusnya menjadi pemudah cara kepada rakyat dan pengecualian cukai taksiran khususnya di kawasan kampung merupakan antara mekanisme kerajaan untuk berbuat sedemikian.

"Kerajaan negeri juga seharusnya sedar bahawa tempoh lapan tahun pengecualian automatik cukai taksiran di kawasan kampung telah banyak membantu penduduk dan rakyat di negeri ini," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri diminta tidak mempolemikkan perkara itu, sebaliknya meneruskan bantuan sosial dan pengecualian cukai kepada penduduk di kawasan kampung bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor akan memulakan pengeluaran bil cukai taksiran secara fizikal kepada pemilik kediaman kampung pada akhir Februari ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, mereka yang menepati syarat kelayakan boleh memohon pengecualian cukai bagi tahun 2024 dengan permohonan dibuka bermula 1 Mac sehingga 31 Mei ini diikuti keputusan boleh disemak pada 1 September depan.