Pengecualian cukai pintu rumah kampung tidak lagi secara automatik

Suee Lim
Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor akan memulakan pengeluaran bil cukai taksiran secara fizikal kepada pemilik kediaman kampung pada akhir Februari ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, mereka yang menepati syarat kelayakan boleh memohon pengecualian cukai bagi tahun 2024.

Menurutnya, permohonan dibuka bermula 1 Mac sehingga 31 Mei ini diikuti keputusan boleh disemak pada 1 September depan.

"Syarat kelayakan permohon mestilah warganegara Malaysia yang menetap di Selangor dan berdaftar kediaman kampung dengan keluasan rumah 2,000 kaki persegi dan ke bawah.

"Pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 ke bawah dan pemohon layak untuk satu akaun atau satu rumah sahaja," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Kerajaan negeri sebelum ini membuat ketetapan rumah di kampung baru, kampung Melayu dan kampung nelayan di Selangor tidak lagi secara automatik dikecualikan daripada cukai taksiran mulai tahun ini.

Pemilik rumah kategori tersebut perlu memohon pengecualian jika mereka layak untuk mendapatkannya.

Dalam pada itu Suee Lim berkata, pada tahun lalu, kerajaan negeri telah membantu hampir 100,000 pemilik kediaman kampung di Selangor melalui pengecualian cukai taksiran dengan kos RM11.551 juta.

Artikel Berkaitan:

"Sejak bermulanya usaha ini, seramai 745,790 unit telah diberikan pengecualian dengan peruntukan RM91.498 juta.

"Bagi tahun ini, Selangor akan meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi pemilik kediaman kampung yang memerlukan serta berpendapatan sederhana," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri komited untuk terus memberikan bantuan kepada pemilik kediaman kampung menerusi beberapa langkah baharu yang akan dilaksanakan.

"Antaranya meningkatkan kemudahan serta kualiti fasiliti di persekitaran kampung sebagai usaha memelihara nilai dan makna kampung-kampung di Selangor, " ujarnya.

Penduduk kediaman kampung yang memerlukan bantuan boleh ke Pusat Khidmat Masyarakat yang bersedia membantu mempercepatkan dan menyempurnakan proses permohonan yang akan dibuat secara dalam talian dan fizikal.