'Tak sangka itu salam terakhir dari ayah'

Muhamad Nabil ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor pada Sabtu.
Muhamad Nabil ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor pada Sabtu.
A
A
A

BESUT - "Tak sangka...itu salam terakhir saya dengan ayah," demikian luah anak kepada mangsa yang maut kemalangan membabitkan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sebuah lori di Kilometer 75 Lebuhraya Utara Selatan pada Jumaat.

Muhamad Nabil Rozali, 13, menyifatkan bapanya, Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, sebagai seorang ayah yang penyayang dan bertanggungjawab dalam keluarga.

Menurut Muhamad Nabil, bapanya sering menghantar dia ke sekolah pada setiap pagi.

"Ayah nak pergi kerja dan hantar saya ke sekolah pada pagi Khamis. Masa itu, saya sempat salam tangan ayah.

"Itulah salam terakhir saya bersama dengan arwah ayah," katanya dengan nada sebak.

Muhamad Nabil ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor di sini pada Sabtu.

Muhamad Nabil berkata, dia kini merindui arwah bapanya namun reda dengan kejadian yang berlaku.

"Saya dapat jumpa ayah di hospital semasa bedah siasat dan ketika itu baru tahu ayah sudah meninggal.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat rindukan ayah...saya mendoakan kesejahteraannya di sana (alam barzakh),” ujarnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Rozali tiba di tanah perkuburan itu pada jam 7 pagi dan selesai dikebumikan kira-kira 60 minit kemudian.

Suasana hiba menyelubungi proses pengebumian jenazah yang dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ATM.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tuan Nor Hasliza Tuan Mohd Nor, 37, dan anak tunggalnya, Muhamad Nabil.

Allahyarham Rozali adalah salah seorang daripada tiga anggota tentera dari Batalion 3 Rejimen Sempadan (RS) Pengkalan Hulu, Perak yang maut dalam kemalangan berkenaan.

Turut terkorban adalah Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketiga-tiga anggota berkenaan sedang dalam konvoi melibatkan tiga buah trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.