3 anggota tentera maut kemalangan: TDM tubuh Lembaga Siasatan Dalaman

Tiga anggota yang maut dalam kemalangan terdiri daripada Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.
Tiga anggota yang maut dalam kemalangan terdiri daripada Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.
A
A
A

ALOR SETAR - Tentera Darat Malaysia (TDM) meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kemalangan maut pagi tadi yang membabitkan tiga anggotanya dekat Gurun, pagi Jumaat.

TDM dalam kenyataan berkata, satu Lembaga Siasatan Dalaman akan ditubuhkan bagi menyiasat kes kemalangan itu, dan menggesa agar gambar-gambar mereka yang terlibat tidak disebarkan bagi menghormati mangsa dan pihak keluarga.

Kenyataan itu mengesahkan bahawa tiga anggota yang maut dalam kemalangan di Kilometer 75 Lebuh Raya Utara Selatan pada pukul 10.45 pagi tadi terdiri daripada Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.

"Ketiga-tiga anggota itu dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak, sedang dalam konvoi melibatkan tiga kenderaan tiga tan menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah," menurut kenyataan itu.

Menurutnya sebuah kenderaan dalam konvoi berkenaan telah mengalami kerosakan, menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah laluan kiri lebuh raya, sebelum dirempuh oleh sebuah trailer di lokasi kejadian.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga anggota atas kehilangan mengejut itu.

"Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan yang besar buat TDM serta berdoa agar waris dan keluarga anggota dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan ALLAH itu," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: