Pengikut bertambah, Samsul Bahari tak lokek kongsi tip naikkan baung

Samsul Bahari menunjukkan ramuan umpan Tapa.
Samsul Bahari menunjukkan ramuan umpan Tapa.
A
A
A

JEMPOL - Seorang kaki pancing dari Felda Palong 3 di sini mengakui pengikutnya di aplikasi TikTok semakin bertambah sejak video 'perdebatan' lokasi memancing di sebuah sungai di Segamat, Johor tular tempoh hari.

Samsul Bahari Janian, 55, atau dikenali sebagai Bentayan berkata, dia gemar berkongsi tip menaikkan baung termasuklah mengenai umpan Tapa yang dibuatnya untuk jualan di TikTok yang ketika itu hanya ada ratusan pengikut berbanding sekarang kira-kira 87,000 'followers'.

"Asalnya sekadar hobi sahaja memancing ini sebab memang minat, tapi dah jadi salah satu mata pencarian saya sekeluarga sejak lebih 20 tahun lalu selepas berhenti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Disebabkan itu saya sanggup berguru dengan seorang individu di Johor untuk mendapatkan tip-tip menaikan ikan khususnya baung berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan," katanya.

Umpan Tapa untuk baung yang menjadi pilihan kaki pancing.
Umpan Tapa untuk baung yang menjadi pilihan kaki pancing.

Samsul Bahari berkata, dia tidak kisah untuk berkonsi tip-tip tersebut dengan pengikutnya termasuklah cara membuat umpan ikan.

"Kalau sebut umpan, ramai kaki pancing tahu umpan Tapa. Resepinya pun boleh dapat dekat internet sahaja, begitu juga saya, namun sedikit berbeza dengan ramuan asasnya adalah perut ayam.

"Bagaimanapun, umpan ini boleh dikatakan jatuh nombor tiga sebab yang pentingnya kedudukan ikan itu, ada tempat-tempat tertentu. Kalau orang minta tip saya sedia berkongsi termasuklah cara membuat Tapa, ilmu yang baik tidak ada masalah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Samsul Bahari menunjukkan umpan Tapa yang dibuatnya.
Samsul Bahari menunjukkan umpan Tapa yang dibuatnya.

Ujarnya, proses pembuatan Tapa mengambil masa, sama ada sanggup atau tidak sahaja menunggunya selain baunya agak 'menyengat', namun bau kembali lembut sebaik siap.

Samsul Bahari berkata, sekiranya cuaca baik dan keadaan mengizikan, hampir setiap hari juga dia turun ke sungai.

"Saya ke sungai naikan baung sambil-sambil buat video untuk dimasukkan dalam TikTok, kongsi ilmu, tidak sangka pula pengikut semakin bertambah.

"Lokasi memancingnya pula merata, bukan Negeri Sembilan sahaja sebab ada keseronokkan memancing ini dan perlu banyak bersabar.

"ALLAH bagi rezeki kita usaha sahaja malah kalau ada yang nak ikut ke sungai naikan baung, tidak ada masalah sangat dialu-alukan," katanya yang menyifatkan kejadian tular baru-baru ini sebagai asam garam kehidupan dunia kaki pancing.

Sebelum ini tular satu rakaman video memaparkan seorang pemancing yang sedang memancing di atas bot tiba-tiba dimarahi seorang lelaki.

Lelaki itu mendakwa sungai tersebut milik bapanya sejak zaman dahulu lagi.

Samsul Bahari menyimpan menunjukkan bekas simpana umpan Tapa.
Samsul Bahari menyimpan menunjukkan bekas simpana umpan Tapa.

Dalam perbalahan kecil yang berlaku itu, individu yang diserang lelaki berkenaan iaitu Samsul Bahari turut mempertahankan keberadaannya untuk memancing di kawasan tersebut.

Bagaimanapun perselisihan faham antara dua pemancing di Sungai Lubok Kepong itu telah diselesaikan dengan baik dalam satu perjumpaan bersama Polis Daerah Segamat, Jabatan Perikatan Daerah Segamat dan ketua kampung.