'Saya sudah biasa memancing di sungai itu'

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

JEMPOL - Tular di media sosial sejak Isnin berhubung dua individu yang didakwa 'bertekak' mengenai kawasan sungai yang dibenarkan untuk memancing.

Dalam video berdurasi 4:25 saat itu memaparkan seorang individu sedang memancing ikan di Sungai Muar dipercayai berdekatan Kampung Awat, Segamat, Johor telah ditegur oleh individu lain yang mendakwa lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran untuk memancing di situ.

Lelaki berkenaan, Samsul Bahari Janian, 55, atau lebih dikenali sebagai Bentayan berkata, dia sudah biasa memancing di sungai tersebut malah mengenali individu dalam video itu.

Anak peneroka Felda Palong 3 itu berkata, kejadian berlaku pada Ahad lepas jam kira-kira 11.30 pagi ketika dia bersama seorang rakannya iaitu pesara guru lelaki berusia 69 tahun memancing di kawasan itu.

"Saya tidak pasti apa punca dan masalah dia berkata demikian, malah tujuan asal video berkenaan dirakam kerana saya ingin berkongsi 'review' tarik ikan dengan rakan-rakan saya di aplikasi TikTok, bukannya merakam tindakan lelaki itu.

"Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk saya kemudiannya mengambil keputusan untuk beredar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Berdasarkan rakaman video yang dimuat naik di TikTok Baung_padu mendapat 136,300 tontonan itu, lelaki berkenaan dengan nada suara yang tinggi bertanya kepada Samsul Bahari mengapa dia memasuki kampungnya.

"Kau masuk kampung aku buat apa? Sekarang ini (Samsur Bahari) (orang) Johor atau Negeri Sembilan?".

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini sungai siapa?," kata lelaki tersebut.

Dalam pada itu, kebanyakan pelayar sosial media melahirkan perasaan kurang senang dengan tindakan individu berkenaan.

Seorang daripadanya menulis "Kami orang Selangor nAk turun sana.. kami sama-sama nak mancing kat kampung dan sungai bapak dia..aku nak bawa orang pejabat tanah sekali".

Seorang lagi pelayar menulis "Bang buat satu video khas pasal kes ni saya nak tau juga apa masalah abang tu".