Tindak tanduk ahli majlis cerminan imej MPK - Noraini

Noraini (tengah) bergambar bersama Ahli Majlis MPK sesi 2024/2025.
Noraini (tengah) bergambar bersama Ahli Majlis MPK sesi 2024/2025.
A
A
A

KLANG - Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu peka dan memberikan komitmen dalam menjaga imej pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua (YDP) MPK, Datin Paduka Noraini Roslan berkata, ahli majlis merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran dan segala tindak tanduk mereka akan memberi impak kepada imej MPK.

Menurutnya, ahli majlis perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sentiasa turun padang, bersemuka serta beramah mesra dengan masyarakat setempat di zon masing-masing.

"Ahli majlis diingatkan agar segera merujuk kepada YDP, timbalan atau pengarah jabatan jika terdapat sesuatu perkara atau isu yang timbul.

"Ahli majlis juga perlu sentiasa bersedia memberi pandangan yang bernas dan logik untuk meningkatkan tahap kemampuan serta mengatasi kekangan MPK.

"Sekiranya timbul isu sensitif yang melibatkan kaum atau agama, ahli majlis perlu berbincang dengan MPK dan bertindak sebagai orang tengah tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya pada pada Majlis Pengakuan Jawatan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis MPK di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang juga Orang Besar Daerah (OBD) Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi mendahului senarai terima jawatan Ahli Majlis MPK sesi 2024/2025.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Beliau bersama 14 Ahli Majlis MPK terdiri tiga wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), lapan DAP dan dua wakil Parti Amanah Negara (Amanah) mengangkat sumpah dihadapan Noraini.

Noraini berkata, setiap tindakan ahli majlis tidak boleh bercanggah dengan dasar yang diputuskan PBT.

"Ahli majlis berperanan sebagai penasihat kepada PBT iaitu memberi nasihat mengikut profesion dan kepakaran masing-masing.

"Sebagai mewakili rakyat, ahli majlis berperanan mewakili kepentingan masyarakat setempat dan menyalurkan reaksi dan maklum balas mereka berkenaan mutu perkhidmatan disediakan PBT," katanya

Beliau turut mengingatkan ahli majlis perlu memastikan kerahsiaan dan tidak boleh membocorkan maklumat kerana terikat Akta Rahsia Rasmi 1972.