Kuota ahli majlis kukuh kerjasama BN-PH hadapi PRU16

Mohd Imran
Mohd Imran
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan akhir berhubung pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dibuat atas dasar memperkukuh kerjasama dan gerak kerja kerajaan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin ketika dihubungi berkata, perbincangan mengenai perkara itu tidak boleh dilakukan semata-mata untuk memenuhi keperluan atau permintaan jangka masa pendek.

Ujarnya, matlamat paling penting dalam perbincangan atau apa sahaja keputusan yang dibuat adalah untuk terus mengukuhkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan PRU itu.

“Kita perlu garap kekuatan dan kelebihan yang ada pada dua-dua parti untuk memastikan segala panduan Kerajaan Perpaduan di Selangor boleh disampaikan kepada rakyat, sejurus memberi kelebihan dalam tadbir urus negeri mahu pun hal ehwal rakyat," katanya pada Ahad.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan media berkata, persefahaman telah dicapai antara PH dan BN Selangor dalam isu kuota ahli majlis PBT, cuma perkara itu perlu “dibincangkan lebih lanjut” untuk memuktamadkan keputusan.

Menyifatkan ia sebagai satu perkara biasa, Pengerusi PH Selangor itu turut berkata, hal itu boleh diselesaikan dengan mudah berikutan wujud persefahaman antara semua pemimpin parti yang terlibat.

Pada 20 Januari lalu, UMNO Selangor menyerahkan kembali kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di negeri itu kepada PH.

Menolak andaian tindakan itu sebagai merajuk, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, UMNO Selangor akan memberi tumpuan kepada 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang dilantik di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Artikel Berkaitan:

Beliau antara lain turut menafikan dakwaan UMNO tamak atau tidak sedar diri mahupun mendesak PH untuk memberikan jawatan kepada parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Imran mengakui walaupun pembukaan kuota ahli PBT kepada BN pada masa ini ialah hak kerajaan negeri, namun UMNO Selangor tetap dengan pendiriannya sebagaimana diumumkan Pengerusi UMNO Selangor pada bulan lepas.

“Kami hormati keputusan itu tetapi dari segi politik dan kerjasama, keputusan pucuk pimpinan setakat hari ini masih kekal status quo,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!