UPSR, PT3: KPM dengar pandangan semua pihak - Fadhlina

Fadhlina beramah mesra dengan pelajar selepas selesai Penyerahan Cek Cura BAP di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang pada Jumaat. Foto Sinar Harian-Rosli Talib
Fadhlina beramah mesra dengan pelajar selepas selesai Penyerahan Cek Cura BAP di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang pada Jumaat. Foto Sinar Harian-Rosli Talib
A
A
A

KAJANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara menerusi pentaksiran dan tumpuan kurikulum 2027.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia selaras dengan haluan negara yang ketika ini memperkasakan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), bahasa Inggeris dan digital.

"Kementerian mendengar pandangan semua pihak dan kita minta berikan sokongan untuk memperkukuhkan pendidikan negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat sebahagian ibu bapa yang mahukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan.

Sebelum ini, KPM telah mengulangi pendirian bahawa kedua-dua ujian tersebut yang dimansuhkan tidak akan dikembalikan.

UPSR yang merupakan peperiksaan penilaian murid Tahun Enam telah dimansuhkan pada 2021 manakala peperiksaan PT3 dibatalkan pada 2022.

Sementara itu, mengulas insiden seorang lelaki ditahan polis kerana mengugut guru di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah, susulan anaknya didakwa dipukul selepas didapati merokok di dalam tandas sekolah, Fadhlina berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.

Berdasarkan laporan media, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu ditangkap guru kerana merokok di dalam tandas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pelajar tersebut telah dibuang sekolah sebelum ini namun dibenarkan untuk mengambil SPM.