Sukar nilai kemasukan ke MRSM tanpa UPSR - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi. Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi di Facebook pada Rabu.
Asyraf Wajdi. Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi di Facebook pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penilaian keupayaan dan potensi sebenar pelajar untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sukar dilaksanakan disebabkan tiada sistem penilaian berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketiadaan UPSR juga menyebabkan pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah.

“Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

“Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Peperiksaan bagi murid Tahun Enam itu dimansuhkan pada April 2021 oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin susulan pandemik Covid-19.

Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, ujian tersebut tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa yang menjadikannya sebagai penanda aras pencapaian anak masing-masing.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di bahagian komen mendapati hantaran Asyraf Wajdi menerima pelbagai reaksi.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar komen di Facebook Nur Aimi dan Azalina Mohd Yunus.
Tangkap layar komen di Facebook Nur Aimi dan Azalina Mohd Yunus.

Pengguna Facebook, Azalina Mohd Yunus bersetuju untuk mengembalikan UPSR kerana jika asas sekolah rendah tidak kuat untuk dibawa ke sekolah menengah, kesannya semakin dapat dilihat.

“Lepas Itu tiada PT3, terus ke Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja ujian besar. Ramai yang akan ketinggalan sebab susah untuk kuasai semua berbanding semasa ada UPSR, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Adanya ujian besar seperti ini boleh buat murid belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Bagaimanapun seorang lagi pengguna Facebook, Nur Aimi pula tidak bersetuju untuk mengembalikan UPSR kerana kanak-kanak bawah 12 tahun tidak perlu mengalami tekanan dan mereka seharusnya belajar ilmu kendiri seperti sahsiah diri, adab atau akhlak.

“Tak setuju. Mereka patut belajar ilmu kendiri, sahsiah diri, adab, akhlak, kuasai kemahiran. Kalau tidak, cikgu akan hadapi tekanan nak mengasingkan pelajar yang pandai dengan tidak.

“Ia sebab nak kejar petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing. Apa yang tadika terapkan boleh juga digunakan pada sekolah rendah, bila dah naik Tingkatan Satu baru fikirkan pengurusan ujian. Pendapat saya, PMR yang harus dikembalikan, bukannya UPSR,” katanya.