Enam pemain import atas padang rugikan pemain tempatan - Razman

Bekas pemain pertahanan negara, Razman Roslan. Foto Bernama
Bekas pemain pertahanan negara, Razman Roslan. Foto Bernama
A
A
A

KETETAPAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan enam pemain import berada di atas padang dalam satu-satu masa bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024-2025 dilihat lebih merugikan pemain tempatan sedia ada.

Bekas pemain pertahanan negara, Razman Roslan berkata, walaupun keputusan MFL ada impak positif, namun ia bakal menyukarkan pemain tempatan memburu slot kesebelasan utama sesebuah pasukan sekali gus berpotensi mengurangkan minit perlawanan mereka untuk mewakili skuad kebangsaan.

"Kadang-kadang, pemain di bawah ini menunggu masa untuk naik, tapi bila sampai masanya dengan kemasukan pemain import, mereka tidak berjaya mendapatkan tempat itu.

"Ia amat merugikan pemain, kita ada ramai bakat untuk diperkembangkan sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program pembangunan bola sepak wanita oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan sebuah jenama sukan antarabangsa (Adidas), di sini pada Khamis.

Beliau yang juga bekas pemain Selangor berpendapat bukan kesemua pemain import benar-benar berkualiti, namun jurulatih lebih memilih menggunakan khidmat mereka disebabkan status pemain import itu.

"Namun mungkin untuk kita sebagai liga profesional yang nak main di Liga Juara-juara Asia (ACL) perlukan perkara ini (enam import) saya rasa MFL terpaksa buat.

Artikel Berkaitan:

"Secara jujurnya amat merugikan pemain tempatan,” katanya.

Razman berkata, Malaysia sudah pernah membuktikan kemampuannya melahirkan pemain yang dibanggakan negara seperti Mohd Safee Mohd Sali dan Norshahrul Idlan Talaha sehingga mampu menjuarai Piala Bola Sepak ASEAN (AFF) walaupun ketika itu tiada khidmat pemain import digunakan.

Baru-baru ini, MFL menerusi kenyataan mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab, MFL serta mendapat persetujuan daripada kelab-kelab Liga-M yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

Ini menyaksikan kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia) +1 (ASEAN) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang lagi pemain import di bangku simpanan. - Bernama