Penyokong Kedah tuntut penjelasan isu tunggakan gaji pemain

Mohammad Adhan (tengah) bersama Nik Mohd Syarafan (dua kanan) dan Suhaimi (dua kiri) menunjukkan kenyataan media daripada 30 NGO yang menuntut penjelasan daripada KDA FC pada Ahad
Mohammad Adhan (tengah) bersama Nik Mohd Syarafan (dua kanan) dan Suhaimi (dua kiri) menunjukkan kenyataan media daripada 30 NGO yang menuntut penjelasan daripada KDA FC pada Ahad
A
A
A

SEBANYAK 30 kelab penyokong bola sepak Kedah tampil menuntut penjelasan daripada pemilik serta pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berhubung isu tunggakan gaji pemain empat bulan musim lalu yang didakwa masih belum dibayar sehingga kini.

Mereka berharap pencerahan segera dapat dilakukan oleh Tan Sri Mohd Daud Bakar dan kelab kerana perkara tersebut masih sepi selain dikejutkan dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khamal Idris Ali.

Wakil kelab penyokong bola sepak Kedah, Mohammad Adhan Mat Aji berkata, penyokong berhak untuk mengetahui perancangan Sang Kenari pada musim 2024-2025 termasuk isu-isu yang sedang membelenggu kelab tersebut.

“Penyokong KDA FC ingin mengetahui status tunggakan gaji dan status KDA FC di dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 memandangkan sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang dibuat oleh Tan Sri Mohd Daud Bakar mahupun pihak pengurusan.

"Selain isu gaji, penyokong turut dikejutkan dengan peletakan jawatan CEO KDA FC, Khamal Idris Ali. Kami (penyokong) ingin memohon penjelasan tentang isu yang sangat mengejutkan ini...apakah yang sedang berlaku dan siapa yang akan menggantikan jawatan CEO itu," katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Mohammad Adhan bersama kenyataan media selepas sidang akhbar pada Ahad.
Mohammad Adhan bersama kenyataan media selepas sidang akhbar pada Ahad.

Tambah Mohammad Adhan, penyokong ada menyuarakan hasrat mengadakan perjumpaan bersama pemilik dan pengurusan tetapi tiada maklum balas.

Justeru mereka berharap pada kali ini suara mereka didengar dan perjumpaan akan diadakan bagi menjawab segala persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong KDA FC

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi wakli kelab penyokong Kedah, Nik Mohd Syarafan Nik Kamaruzaman berkata, penyokong adalah tulang belakang kepada sesebuah pasukan dan mereka akan sentiasa bersama pasukan walau apa jua yang berlaku.

Jelasnya, isu tunggakan gaji yang sedang berlaku mampu memberikan risiko kepada KDA FC untuk diturunkan liga ataupun tidak dibenarkan beraksi jika masih belum diselesaikan.

“Muncul kerisauan dalam kalangan penyokong berkenaan masalah ini kerana tahun ini adalah 100 tahun penubuhan bola sepak Kedah sejak 1924. Kita tidak mahu sambutan tahun ini dengan pasukan terpaksa beraksi di liga bawah,” ujar penyokong setia itu.

Bagi Suhaimi Mat Isa pula, peletakan jawatan Khamal Idris sebagai antara individu penting dalam pengurusan kelab tersebut menunjukkan ada sesuatu perkara yang terjadi di saat pasukan dalam persiapan untuk mengharungi musim baharu.

Menurutnya, pemilik dan pihak pengurusan akan sentiasa bersilih ganti tetapi penyokong-penyokong akan setia dan sentiasa berada dibelakang pasukan sampai bila-bila.

"Prestasi KDA FC musim 2023 tidak teruk kerana berada di tangga keempat berbanding tangga kelapan pada tahun sebelumnya. Kami cuma mahu pengurusan jangan bersikap diam diri sahaja tanpa apa-apa tindakan, penyokong perlu tahu apa yang berlaku sebenarnya,” jelas Suhaimi.

@sinarharianonline

Penyokong Kedah tuntut penjelasan isu tunggakan gaji pemain #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Sukan #Kedah #Bola #Pemain #Atlet #Gaji #Tunggakan #Kedah #Utara

Earned It (In the Style of Weeknd) [Karaoke Version] - Instrumental King