Nadiya Nisaa harap waktu penggambaran ditambah baik

Nadiya mengakui pernah terfikir untuk meninggalkan karier seni.
Nadiya mengakui pernah terfikir untuk meninggalkan karier seni.
A
A
A

AKTRES berbakat besar, Nadiya Nisaa berpendapat sudah tiba masanya syarikat produksi menetapkan waktu kerja yang lebih bersesuaian bukan hanya terhadap pelakon, tetapi juga kru belakang tabir.

Jelas Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 38, selama ini ada pelakon dan kru belakang tabir perlu bekerja lebih masa dan bergantung kepada minuman berkafein bagi mendapatkan tenaga ketika bekerja.

Kesannya, ada di antara kru produksi yang jatuh sakit pada usia muda, termasuk mendapat serangan jantung.

"Pada pendapat saya, sudah tidak relevan untuk bekerja lama di set penggambaran atau ada di antaranya yang bekerja dari pagi hari ini sehingga ke pagi hari esok.

"Ada sahaja karya yang menghiburkan tetapi disiapkan dengan sistem kerja yang lebih teratur dan produktif.

"Sampai bila karyawan perlu bergantung dengan minuman berkafein untuk pastikan ada tenaga, tidak mengantuk kerana perlu bekerja lebih masa?" ujarnya.

Tambah Nadiya, dia pernah terlibat dengan penggambaran yang dilakukan seperti waktu pejabat seperti dalam siri SeOfis yang disiarkan di Tonton baru-baru ini.

Katanya, selain keterujaan kerana dapat bekerja dengan teman baik seperti Nadia Aqilah dan Siti Saleha, waktu kerja yang konduktif menyebabkan dia berasa lebih seronok ketika bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Ketika penerbit siri ini beritahu yang waktu penggambaran adalah dari 8 pagi hingga 6 petang, saya memang rasa teruja sebab susah nak dapat produksi seperti itu.

SeOfis menyaksikan gandingan tiga pelakon hebat iaitu Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah dan Siti Saleha.
SeOfis menyaksikan gandingan tiga pelakon hebat iaitu Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah dan Siti Saleha.

"Bagaimanapun saya tabik dengan penerbit yang bijak mengatur produksinya. Setiap hari ada KPI yang ditetapkan dan kita jadi teruja serta suka bekerja kerana mahu berikan yang terbaik.

"Selain itu rasa seronok kerana dapat pulang pada waktu petang. Jadi ada masa untuk keluarga pula selepas itu," katanya.

Nadiya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran siri SeOfis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siri yang menyaksikan pertembungan tiga personaliti wanita bekerjaya pada usia 30-an telah membentuk ikatan persahabatan bagi mengharungi suka duka, cita-cita dan cinta di ibu kota.

Drama bersiri 12 episod itu diterbitkan Parallax Pictures dan diarah Faizul Jais, manakala skrip oleh Nadia Khan dan Mamu Vies.

Selain Nadiya, Siti Saleha dan Nadia Aqilah, SeOfis dibintangi Fahrin Ahmad, Hafizul Kamal, Munir Kharuddin, Akmal Azwar, Syahir Shafien serta Anas Ridzuan.

Dalam pada itu, hasrat pelakon Imaginur itu bagai bakal menjadi kenyataan apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Khamis menjanjikan pelaksanaan kontrak standard melibatkan kru, pelakon dan penerbit yang mengandungi klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Saifuddin Mutalib berkata kontrak standard itu akan dilaksanakan pada tahun ini.

Ujarnyam ia bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain yang berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.

“Dalam kontrak standard itu, akan ada klausa seperti tangga gaji, tempoh waktu bekerja sehari dan insurans serta PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) supaya kebajikan pekerja ini terlindung,” katanya.