'Harap penyokong Sanusi bersabar, saya takkan tangguh bayar' - Mahfuz

Mahfuz diarah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Sanusi berhubung kenyataan fitnah yang dibuatnya di laman sosial Facebook pada 2020.
Mahfuz diarah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Sanusi berhubung kenyataan fitnah yang dibuatnya di laman sosial Facebook pada 2020.
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi pada Rabu yang mengeluarkan perintah bayaran ganti rugi kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas kalah saman yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah itu.

Mahfuz berkata, beliau sedia membuat bayaran penuh RM250,000 kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) terbabit.

Bagaimanapun katanya, bayaran itu akan dibuat selepas selesai proses rayuan yang akan dikemukakan peguamnya di Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.

"Saya akan ikut proses perundangan dan Perlembagaan.

"Saya dah bincang dengan peguam dan mendapat nasihat untuk merayu maka saya akan teruskan dengan proses rayuan selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah berkata, terdapat dua peringkat rayuan boleh dibuatnya iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Kepada penyokong Muhammad Sanusi, saya harap dapat bersabar.

"Saya akan tetap hormati kalau mahkamah pada akhirnya memutuskan saya perlu bayar kepada Muhammad Sanusi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau selepas rayuan ini mahkamah suruh bayar juga, saya takkan tangguhkan bayaran atau buat kenyataan 'langkah mayat aku dulu'.

"Cumanya saya harap mereka bersabarlah sehingga proses rayuan," jelasnya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, beliau juga tidak akan marah dan salahkan media yang melaporkan berita keputusan mahkamah terbabit.

Mahkamah Tinggi pada Rabu memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi RM250,000 kepada Muhammad Sanusi berhubung kenyataan fitnah yang dibuatnya di laman sosial Facebook pada 2020.

Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan Mahfuz melakukan fitnah dan berniat jahat berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA), yang dikatakan untuk kegunaan peribadi Menteri Besar.