Kes fitnah Vellfire: Mahfuz diperintah bayar RM250,000 kepada Sanusi

Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan).
Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Rabu memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung saman fitnah pembelian sebuah kenderaan mewah empat tahun lalu.

Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan perintah itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Mahfuz sebagai defendan berhubung kenyataan fitnah terbabit.

Mahfuz didapati melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar terhadap Muhammad Sanusi berhubung hantaran dimuat naik Mahfuz di Facebook miliknya menerusi ‘Komen Politik Semasa’ berkaitan pembelian Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi pada 17 Oktober 2020.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu diperintahkan membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi tauladan sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM30,000.

Mahkamah turut memerintahkan Mahfuz membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi dan perlu diterbitkan di sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akaun Facebook milik bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu dan terma permohonan maaf hendaklah dipersetujui oleh plaintif.

Perintah lain termasuk menarik balik hantaran Facebook dan video yang dimuat naik pada tarikh tersebut selain dilarang memuat naik atau menyiarkan apa-apa kenyataan atau video atau kandungan media atau apa-apa bentuk mengandungi maklumat atau kandungan serupa atau menyentuh isu sama atau berkaitan.

Mahkamah juga mengarahkan perintah injuksi kekal bagi menghalang defendan atau mana-mana pihak daripada memuat naik, menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan dalam apa juga bentuk yang mengandungi maklumat dan kandungan serupa.

Artikel Berkaitan:

Hakim Dr Arik Sanusi dalam penghakimannya menjelaskan, kesemua kenyataan Mahfuz bahawa Muhammad Sanusi membeli Toyota Vellfire untuk kegunaan peribadi adalah fitnah dan berniat jahat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu.

Muhammad Sanusi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd. Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan sementara Mahfuz diwakili Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah.