Tunggang motosikal curi, cuba lari sekatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang lelaki menunggang motosikal curi yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sekatan jalan raya di susur Taman Kencana, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seramai 10 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan sekatan jalan raya di kawasan itu pada jam 8.40 pagi.

"Anggota polis trafik cuba menahan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dalam keadaan yang mencurigakan.

"Ketika individu berkenaan menghampiri kawasan sekatan jalan raya, dia kemudian bertindak berpatah balik seterusnya menunggang motosikal secara melawan arus," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, anggota polis trafik kemudian mengekori individu berkenaan sehingga dia berjaya ditahan di Jalan Bukit C, Kampung Cheras Baru.

"Hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang digunakan lelaki itu hanya mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian belakang.

"Semakan lanjut ke atas nombor casis yang tertera pada kenderaan berkenaan mendapati nombor pendaftaran sebenar adalah berbeza dengan nombor pendaftaran yang dipamerkan," katanya.

Beliau berkata, motosikal berkenaan mempunyai satu rekod hilang yang dilaporkan pada 3 Ogos tahun lalu di Klang.

Artikel Berkaitan:

"Individu berkenaan telah dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," ujarnya.