JAS Kedah sita premis proses sisa elektronik haram

Pegawai JAS Kedah ketika memeriksa buangan elektronik secara haram atau tanpa lesen di sebuah premis di Daerah Kuala Muda.
Pegawai JAS Kedah ketika memeriksa buangan elektronik secara haram atau tanpa lesen di sebuah premis di Daerah Kuala Muda.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan sebuah premis yang menjalankan aktiviti penstoran dan pemerolehan kembali buangan elektronik secara haram atau tanpa lesen daripada JAS di Daerah Kuala Muda.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis yang terletak di Kawasan Perusahaan Bukit Selambau, Sungai Petani itu diserbu pada Rabu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti peleburan sekerap logam.

"Hasil siasatan premis ini pernah memohon dan mendapat Kelulusan Laporan EIA pada 28 Mac 2022 bagi menjalankan proses pulih guna buangan-buangan terjadual bagi kod SW104 (metal dross, dust & slag with copper contents), SW422 (Electronic cables with copper wires) sekerap logam.

"Bagaimanapun, premis didapati gagal memohon lesen dibawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan mendapatkan lain-lain kelulusan serta kebenaran bagi alat-alat kawalan pencemaran," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Antara buangan elektronik yang dijumpai ketika serbuan.
Antara buangan elektronik yang dijumpai ketika serbuan.

Menurutnya, dalam serbuan terbabit, JAS menyita sebanyak 214 palet buangan terjadual yang dipercayai buangan elektronik dengan berat anggaran sebanyak 170 metrik tan.

"Premis disyaki cuba untuk menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan elektronik dengan mencampurkan buangan terjadual tersebut dengan sekerap logam di dalam aktiviti peleburan.

Artikel Berkaitan:

"Pemerhatian awal mendapati terdapat kemungkinan sisa elektrik dan elektronik tersebut diimport secara haram melalui pintu-pintu masuk ke negara ini.Bagaimanapun siasatan lanjut sedang diadakan bagi mengesahkan perkara ini," katanya.

Jelasnya, buangan elektronik merupakan buangan terjadual dengan kod buangan SW 110 berdasarkan Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Sebarang aktiviti penstoran luar tapak atau pemerolehan kembali buangan terjadual memerlukan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan kelulusan lesen di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

" Pemerolehan buangan terjadual secara haram tanpa alat-alat kawalan pencemaran boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara di kawasan sekitar," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, selain daripada itu, aktiviti tersebut juga berpotensi menyebabkan berlakunya pelupusan haram sisa buangan terjadual yang tidak mempunyai nilai dan juga pelupusan residue Kod SW 501 atau sisa akhir (sisa yang tidak boleh dikitar semula lagi).

"Ia juga boleh menyebabkan pencemaran logam berat kepada udara, tanah, sumber air bawah tanah dan sungai. Pendedahan kepada logam berat juga boleh memudaratkan kesihatan manusia," katanya.

Tambah beliau, premis terbabit akan disiasat berdasarkan perundangan dibawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Seksyen 34A (6),Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.