JAS saran 4 tanggungjawab jaga, lestari alam sekitar

Wan Abdul Latif (tiga dari kiri) diiringi Amirul (dua dari kiri) merasmikan Seminar Akta Kualiti Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama di SICC Kota Kinabalu.
Wan Abdul Latif (tiga dari kiri) diiringi Amirul (dua dari kiri) merasmikan Seminar Akta Kualiti Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyarankan empat tanggungjawab perlu dilaksanakan bersama bagi menjaga dan melestarikan alam sekitar.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, setiap hari manusia tidak lari daripada menggunakan sumber alam sekitar termasuk menghirup udara segar dan juga air minuman.

Bagaimanapun katanya, ketika ini banyak sumber alam telah tercemar akibat perbuatan manusia sendiri.

"Semakin hari kualiti alam merosot, suhu persekitaran semakin panas berbanding dulu. Kita perlu bayangkan apa yang akan berlaku pada masa akan datang sekiranya bumi ini hilang kualiti alam semula jadinya.

"Sebelum kualiti alam merosot dengan lebih teruk berlaku, mari kita teliti semula tanggungjawab kita terhadap alam sekitar sesuai dengan tema sambutan Hari Alam Sekitar tahun ini," katanya ketika berucap majlis perasmian Seminar Akta Kualiti Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah JAS Sabah, Amirul Aripin.

Wan Abdul Latiff berkata, antara tanggungjawab yang perlu diambil untuk menjaga alam sekitar ialah memakmurkan bumi iaitu menggunakan sumber bumi dengan cara yang baik dan membangunkan sumber semula jadi dengan berkesan.

"Tanggungjawab kedua pula ialah tidak membuat kerosakan terhadap alam sekitar termasuk elak daripada melakukan pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tanggungjawab seterusnya pula ialah menghargai ekosistem di mana setiap unsur semula jadi seperti air, udara, hutan, laut dan haiwan berjasa terhadap manusia melalui fungsi yang berbeza.

"Tanggungjawab terakhir ialah mengekalkan keindahan alam sekitar kerana ia juga mempunyai potensi yang besar dalam industri pelancongan seperti Sabah yang merupakan antara destinasi pelancongan terkemuka di rantau ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa semua tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar bukan terletak pada segelintir individu atau agensi saja sebaliknya ia tanggungjawab setiap manusia di bumi ini.