Kerajaan setuju lebarkan Lebuhraya KL-Karak atasi isu kesesakan

Laluan di Lebuhraya KL- Karak sering sesak setiap kali musim perayaan, cuti umum dan juga cuti hujung minggu. (Gambar kecil: Wan Rosdy)
Laluan di Lebuhraya KL- Karak sering sesak setiap kali musim perayaan, cuti umum dan juga cuti hujung minggu. (Gambar kecil: Wan Rosdy)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran jalan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Lebuhraya KL-Karak) yang dijangka bermula pada suku kedua tahun 2024.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang bakal dijalankan oleh Syarikat Anih Berhad (Anih Berhad) itu melibatkan jajaran bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Lingkaran Tengah Utama, Bentong.

"Projek berkenaan merangkumi pembinaan satu lagi terowong, penambaikan terhadap bahu jalan dan disediakan lampu jalan di keseluruhan jajaran untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Saya berharap dengan pelaksanaan projek-projek ini, kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KL-Karak dapat ditangani dan dikurangkan," katanya.

Wan Rosdy berkata, Pahang melalui Anih Berhad juga merangka beberapa keadah bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KL-Karak pada musim perayaan, cuti umum dan juga cuti hujung minggu.

Kesesakan itu diatasi laluan dari Plaza Tol Bentong hingga ke Plaza Tol Gombak sepanjang 42 kilometer (KM).

Menurutnya, beberapa kaedah penyelesaian telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan merangkumi projek jangka masa panjang dan juga jangka masa pendek.

"Untuk itu, saya telah memanggil Anih Berhad yang merupakan pemegang konsesi Lebuhraya KL-Karak dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memberi taklimat.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga membincangkan mengenai langkah-langkah penyelesaian kesesakan ini dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang diadakan pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy memberitahu, untuk jangka masa pendek, beberapa pendekatan atau mitigasi telah dan akan dilaksanakan oleh Anih Berhad.

Jelasnya, ia termasuk menjadualkan kerja pembaikan di luar waktu puncak dan mengeluarkan nasihat jadual perjalanan kepada pengguna ketika musim perayaan.

"Selain itu, jumlah kakitangan bertugas ditambah untuk memastikan kejadian luar jangka yang berlaku ditangani segera.

"Menyediakan perkhidmatan kren dalam keadaan tunggu sedia (standby) agar sebarang kejadian luar jangka dapat ditangani dengan segera," katanya.

Beliau berkata, persediaan dua lokasi tidal flow di KM55-59 arah timur dan KM60-56 arah barat, tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada pecahan trafik di kedua-dua arah mencapai nisbah trafik 70 hingga 30 (Barat-timur) bagi mengelakkan kesesakkan.

Menurutnya, Anih Berhad juga akan melaksanakan Lane Segregation Plaza Tol Gombak Arah Barat mengikut destinasi (Batu Cave/Ampang) bagi mengurangkan isu 'weaving'.

Katanya, disamping itu, melaksanakan 'tapering cone' untuk 'merging lane' di empat lokasi strategik untuk mengelakkan 'weaving' di 'conflict point'.

"Ia di susur dari Karak, susur dari Lingkaran Tengah Utama (LTU), pusingan U MRSM dan susur dari UIA selepas Plaza Tol Gombak," katanya.