Mesyuarat bincang isu kesesakan 'luar biasa' di JB petang ini

Lee Ting Han
Lee Ting Han
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan mengadakan satu mesyuarat petang ini bagi membincangkan isu kesesakan 'uar biasa' di beberapa laluan utama di Johor Bahru sejak beberapa hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, kerajaan negeri sedia maklum berkenaan masalah itu dan akan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu rakyat di negeri ini.

"Ya, memang kita terima aduan, saya antara pengguna yang terkesan apabila saya tersangkut dalam kesesakan trafik selama lebih dua jam ketika dalam perjalanan dari Iskandar Puteri menuju ke Pasir Gudang selepas tamat waktu bekerja. Sudah beberapa kali, ada ketika saya memandu sendiri dan menaiki kenderaan rasmi dipandu pemandu.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengambil langkah yang proaktif mencari kaedah penyelesaian terbaik dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, petang ini. Moga ada penyelesaian yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Stesen Super Charger Tesla di pusat beli-belah Sunway Bigbox di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

Ting Han dalam pada itu berkata, antara cadangan awal yang akan diusulkan ialah menempatkan anggota polis trafik atau penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terlibat bagi membantu menyuraikan trafik.

"Antara punca kesesakan adalah apabila terdapat banyak kerja naik taraf jalan dilakukan serentak, selain laluan daripada empat lorong berkurangan menjadi dua atau satu lorong sahaja," katanya.

Sejak beberapa hari lepas, beberapa laluan utama di bandar raya ini mengalami kesesakan luar biasa dipercayai, antaranya disebabkan kerja-kerja membaiki dan menaik taraf jalan raya. - Bernama

Artikel Berkaitan: