Kes seksual di Kelantan meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 249 kes kesalahan seksual dilaporkan berlaku di Kelantan pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 52 berbanding 197 kes pada 2022.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, statistik itu melibatkan kes rogol, sumbang mahram, liwat, cabul serta kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

"Pada tahun lalu sebanyak 115 kes rogol direkodkan manakala 36 bagi kes cabul, 17 kes sumbang mahram, lapan kes liwat dan 73 kes AKSTK.

"Pada 2022 pula sebanyak 85 kes rogol direkodkan selain 14 kes sumbang mahram (14), tujuh kes liwat, 32 kes cabul dan 59 kes AKSTK," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Mas semalam.

Muhamad Zaki berkata, pada tahun lepas sebanyak 154 kes melibatkan mangsa berusia 16 tahun ke bawah berbanding 117 kes melibatkan usia sama pada 2022.

Beliau berkata, bagi kes rogol melibatkan remaja di bawah 16 tahun, sebanyak 78 kes direkodkan berbanding 61 kes pada 2022.

"Jika dilihat kepada statistik ia menunjukkan peningkatan dan kita sudah melaksanakan pelbagai program termasuk melibatkan pelajar bagi membanteras kegiatan sosial yang memudaratkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: