Polis cari Budi Susanto, tiga rakan terlibat kes pecah rumah

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

REMBAU - Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Budi Susanto, 36 dan tiga rakan sejenayahnya susulan kejadian pecah rumah membabitkan dua kediaman di Kampung Pilin, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, ini susulan penemuan dokumen pengenalan diri atau kartu warganegara Indonesia dipercayai milik suspek yang berasal dari Lombok di lokasi kejadian.

"Kesemua suspek bertubuh kurus dan sederhana dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu, individu yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di nombor 06-6851999," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tindakan empat penjenayah menyamun dua rumah di Kampung Pilin, awal pagi Isnin, bagaikan 'memakan diri' apabila beg disyaki milik salah seorang suspek berjaya dirampas oleh seorang mangsa yang mengejarnya dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi.

Selain kediaman berkenaan, empat suspek yang menutup muka dengan pakaian sebelum itu menyamun sebuah rumah lain kira-kira jam 3.30 pagi malah sempat makan durian dan ikan masin mentah dalam peti sejuk sementara menunggu kenderaan mereka sampai.

Artikel Berkaitan: