Warga emas didakwa rasuah, pindah wang aktiviti haram

Tertuduh dibawa keluar selepas mengikuti pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada Rabu.
Tertuduh dibawa keluar selepas mengikuti pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan pemindahan wang daripada aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit, yang didakwa dilakukan pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mazlan Hashim, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut sebaik dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan bekas Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad didakwa secara rasuah meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta daripada pengarah sebuah syarikat.

Wang rasuah bernilai RM970,000 itu dipercayai sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender cadangan mereka bentuk, membekal, membina, menguji terima dan mentauliah 1MWp Solar Farm & Green House di atas sebahagian daripada Lot 3375 Mukim Padang Kerbau, Sungai Tiang di Pendang dari Myangkasa Services Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Tingkat 1, Susuran Sosenati, Pusat Perniagaan Sosenati dekat sini pada November 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan sebanyak RM274,608 daripada pengarah syarikat sama melalui akaun Affin Islamic Bank milik koperasi tersebut, sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2017 di Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Alor Setar di sini.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga dihadapinya, tertuduh didakwa telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM265,000 dari akaun koperasi berkenaan ke akaun Affin Islamic Bank Berhad miliknya.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan, atau RM5 juta bergantung yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan Maziah Mohaidee manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zaharudeen Harun.

Selepas tertuduh membuat pengakuan, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tertuduh sebelum ini telah berdepan tiga pertuduhan bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Menurut Farah Ezlin, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menetapkan supaya tertuduh diikat jamin dengan wang berjumlah RM30,000 oleh seorang penjamin warganegara Malaysia selain perlu menyerahkan passport, dan dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada hari pertama bekerja setiap bulan.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan mencadangkan supaya ikat jamin serta syarat sama digunakan dalam pertuduhan dilakukan pada Rabu dengan kesemua kes melibatkan tertuduh, turut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan tersebut setelah tidak mendapat bantahan daripada pihak pembelaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!