[VIDEO] Kuih bakul Rosidah satukan selera pelbagai kaum

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kuih bakul atau ‘Nian Gao’ yang membawa simbol kemakmuran merupakan antara hidangan wajib dan sinonim ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, namun rasanya yang agak manis menyebabkan tidak semua gemarkan kuih tradisional itu.

Bagaimanapun, kuih bakul diolah menggunakan sukatan dan resipi tersendiri oleh seorang wanita yang berpengalaman dalam menghasilkan kuih tradisional, Rosidah Muda, 50 di Kampung Pelam, Kuala Telemong di sini mengubah tanggapan terhadap kuih berkenaan.

Tidak hairanlah jika ramai yang 'jatuh cinta' ketika pertama kali mencuba kuih bakul itu kerana rasanya yang tidak begitu manis serta boleh diolah semula dalam pelbagai menu masakan lain seperti digoreng bersama ubi keledek memberikan pelbagai variasi, namun dalam masa yang sama masih mengekalkan keaslian rasa kuih tersebut.

Menurut Rosidah, bahan untuk menghasilkan kuih tradisional masyarakat Cina itu tidak sukar kerana ia hanya menggunakan bahan asas utama iaitu tepung pulut, diadun bersama air gula yang telah dimasak dengan daun pandan serta perahan lemon.

Rosidah menunjukkan kaedah pembuatan kuih bulan di kediamannya di Kampung Pelam, Hulu Telemong di Kuala Terengganu.
Rosidah menunjukkan kaedah pembuatan kuih bulan di kediamannya di Kampung Pelam, Hulu Telemong di Kuala Terengganu.

"Bahan-bahan untuk menghasilkan kuih ini adalah ringkas, kosnya pula tidak begitu besar kerana ia mudah didapati.

"Tetapi, kaedah memasaknya agak rumit kerana perlu dikukus antara lima hingga enam jam menggunakan api perlahan. Ia juga perlu dipantau setiap masa bagi mengelak menjadi keras dan tidak masak dengan sempurna," katanya yang bekerja sebagai kerani.

Rosidah berkata, percubaan kali pertama menghasilkan kuih bakul pada 2016 untuk dihidangkan kepada keluarga dan diagihkan kepada jiran, sebelum dia mula menerima tempahan oleh peminat kuih tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kuih bakul daun pisang yang dihasilkan Rosidah mendapat permintaan tinggi kerana baunya lebih wangi dan menyelerakan.
Kuih bakul daun pisang yang dihasilkan Rosidah mendapat permintaan tinggi kerana baunya lebih wangi dan menyelerakan.

"Pada mulanya saya hasilkan kuih bakul ini untuk makan sendiri, lepas tu ada beri pada jiran untuk rasa. Bila dah ada yang mahu tempah saya mula fokus untuk buat kuih bakul sebagai pendapatan sampingan.

"Sekarang ni saya sudah memasarkan kuih bakul melalui platform jualan secara atas talian di mana tempahan diterima dari seluruh negeri dan pernah mencecah sehingga 2,000 bekas dalam tempoh sebulan.

"Tempahan semakin tinggi diterima apabila musim perayaan Tahun Baharu Cina. Saya bukan sahaja menerima pelanggan dalam kalangan kaum Cina, pelanggan Melayu pun ramai yang berminat terhadap kuih ini," katanya yang turut dibantu anaknya, Nur Qayyimah Haziqah Halim, 24.

Ibu kepada tujuh cahaya mata itu memberitahu, terdapat dua jenis kuih bakul yang dijual iaitu kuih bakul biasa yang dijual pada harga RM10 dan kuih bakul daun pisang yang dijual pada harga RM12.

Rosidah menunjukkan antara tempahan kuih bulan yang sudah siap dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan.
Rosidah menunjukkan antara tempahan kuih bulan yang sudah siap dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan.

"Proses pembuatan kuih bakul daun pisang agak rumit sedikit tetapi baunya lebih wangi. Saya perlukan masa untuk buat acuan dari daun pisang, sebab itulah harganya lebih mahal.

"Untuk kedua-dua jenis kuih ini ia mampu bertahan sehingga lima hari jika diletakkan di luar peti sejuk dan boleh tahan sehingga enam bulan jika disimpan dalam peti sejuk," katanya.

Rosidah memberitahu, selain boleh menghasilkan kuih bakul dia juga boleh menghasilkan kuih bulan serta mahir dalam pembuatan kuih tradisional Melayu seperti pulut dakap, lemang dan ketupat.

"Kemahiran membuat kuih ini saya warisi daripada ibu saya, Meriam Osman, 85, sebab saya sudah biasa menolong dia menghasilkan kuih untuk dijual sejak saya masih kecil.

"Sekarang ibu saya pun sudah uzur, saya nekad untuk meneruskan penghasilan kuih muih tradisonal ini dan mengolah mengikut pelbagai varisi supaya ia dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat," ujarnya.