Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah zahir penghargaan kepada rakyat Malaysia

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesudian menerima kehadiran Seri Paduka berdua dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menerusi hantaran dalam Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan dan rasa terharu atas sokongan serta kasih rakyat kepada baginda berdua.

"Sesungguhnya, ia menjadi sumber kekuatan dan dorongan kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Utama Negara sejak 31 Januari 2019.

"Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa syukur kerana amanah dan tanggungjawab yang digalas, dilaksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati baginda.

"Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda berdua menamatkan tempoh pemerintahan dengan perasaan yang sedih kerana perpisahan ini, namun dengan perasaan gembira kerana berangkat pulang untuk bersemayam di Pahang Darul Makmur bersama dengan rakyat,” menurut hantaran berkenaan.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat supaya menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat serta kehamonian yang dinikmati di negara ini dengan sepenuh hati.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama baginda berdua mendoakan agar rakyat dan negara dilimpahi keberkatan, kesejahteraan, kemakmuran dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah, serta dikurniakan keafiatan, perpaduan dan keharmonian yang berpanjangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: