Inovasi VR bantu pesakit gigi atasi cemas julang nama dua mahasiswa USIM di Beijing

Nur Salsabila (kiri) bersama Puteri Nur Hazwani (tengah) dan penyelaras membawa pulang dua anugerah dari Global Competition on Design for Futures (GCD4F) anjuran Beijing Normal University bersama UNESCO ITTE yang berlangsung di Beijing, China pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Nur Salsabila (kiri) bersama Puteri Nur Hazwani (tengah) dan penyelaras membawa pulang dua anugerah dari Global Competition on Design for Futures (GCD4F) anjuran Beijing Normal University bersama UNESCO ITTE yang berlangsung di Beijing, China pada 24 dan 25 Oktober lalu.
A
A
A

BEIJING - Bermula daripada keprihatinan terhadap pesakit yang sering berdepan rasa cemas setiap kali mendapatkan rawatan pergigian, dua mahasiswa Fakulti Pergigian dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kampus Ampang berjaya menghasilkan satu projek inovasi khas.

Lebih membanggakan, inovasi berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) itu berjaya membawa pulang dua pengiktirafan daripada hari kemuncak Global Competition on Design for Futures (GCD4F) anjuran Beijing Normal University bersama UNESCO ITTE yang berlangsung di Beijing, China pada 24 dan 25 Oktober lalu.

Dua mahasiswa berkenaan, Nur Salsabila Mohd Azilah dan Puteri Nur Hazwani Mohd Kopli, masing-masing merupakan pelajar Fakulti Pergigian USIM kampus Ampang yang baharu sahaja bergraduasi pada 4 November lalu.

Projek rintis inovasi teknologi VR dilakukan ke atas 75 pesakit gigi sebelum hasilnya dibentangkan di hadapan juri.
Projek rintis inovasi teknologi VR dilakukan ke atas 75 pesakit gigi sebelum hasilnya dibentangkan di hadapan juri.

Nur Salsabila, 24, berkata, idea projek inovasi yang dicetuskan sejak tahun lalu berjaya meraih Anugerah Perak (tempat kedua) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai 8,000 yuan bersamaan RM4,500 dan terpilih sebagai pemenang Anugerah Inovasi Paling Popular.

"Saya dan Puteri Nur Hazwani mewakili USIM untuk menyertai program ini di mana kami menghasilkan video berasaskan AI yang boleh diakses menerusi alat VR bagi membantu mengurangkan keresahan pesakit ketika menjalani rawatan pergigian.

"Kebiasaannya semasa mendapatkan rawatan pergigian, pesakit akan pakai spek mata kan? Tapi kali ini kami mengetengahkan inovasi di mana pesakit pakai alat VR, tonton video prosedur rawatan direka khas menggunakan AI dan ia mendapat pengiktirafan doktor pakar.

"Kami juga menjalankan projek rintis ke atas 75 pesakit dan rata-ratanya cakap pakai alat VR semasa periksa gigi membantu mengurangkan gelisah, bahkan rasa sakit semasa rawatan gigi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nur Salsabila, penyertaan dalam pertandingan di pentas antarabangsa itu memberikan pengalaman cukup bermakna apabila mereka berpeluang bersaing dengan wakil kumpulan dari 25 negara.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan untuk melangkah ke pentas akhir nyata bukan mudah apabila pada peringkat awal, pasukannya tidak terpilih dalam senarai 18 kumpulan yang layak ke peringkat akhir pertandingan.

Namun, situasi itu tidak mematahkan semangat kedua-duanya untuk terus membuat persediaan dengan membangunkan aplikasi khas bagi menghimpunkan keseluruhan kandungan video inovasi berkenaan.

"Pada mulanya, pasukan kami tidak terpilih untuk menyertai 18 kumpulan yang akan ke peringkat akhir.

"Tetapi, pada malam sebelum hari pertandingan kami cuba buat satu aplikasi menggunakan AI supaya semua kandungan video boleh diakses menerusi aplikasi berkenaan kerana juri mahukan inovasi iaitu sesuatu yang boleh ditambah baik atau diimprovisasikan," ujarnya.

Dua mahasiswa Fakulti Pergigian USIM kampus Ampang membawa nama universiti dan Malaysia di pentas antarabangsa.
Dua mahasiswa Fakulti Pergigian USIM kampus Ampang membawa nama universiti dan Malaysia di pentas antarabangsa.

Usaha dan kesungguhan dua gadis itu akhirnya membuahkan hasil apabila pasukannya dipilih sebagai finalis untuk membentangkan projek inovasi berkenaan di hadapan barisan juri dari pelbagai negara.

"Alhamdulillah, kemenangan ini mendapat respons positif daripada pihak fakulti, USIM serta keluarga.

"Ramai tak sangka kajian dan projek inovasi kami boleh mendapat tempat memandangkan susah juga untuk bersaing dengan wakil dari 25 negara lain terutamanya China selaku tuan rumah.

"Masing-masing merasakan dengan menyertainya sahaja sudah cukup hebat dan membanggakan," jelas Nur Salsabila.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!