Tuanku suka teh O nipis, roti kosong kuah dal

Rosnida menyediakan juadah kepada pelanggan di restorannya di Kuantan, baru-baru ini.
Rosnida menyediakan juadah kepada pelanggan di restorannya di Kuantan, baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemilik restoran berkongsi pengalaman melayani Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sering mencemar duli berangkat ke tempatnya untuk menikmati santapan pagi.

Pemilik Restoran D’Wafi, Rosnida Che Soh, 49, berkata, air teh O nipis, roti kosong kuah dal dan dua biji telur separuh masak merupakan antara menu yang menjadi pilihan baginda manakala Tunku Azizah pula menggemari roti telur serta laksam.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah akan tiba sekitar jam 6 pagi setelah menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid dan menghabiskan masa kira-kira 40 minit untuk menikmati santapan pagi selain beramah mesra dengan rakyat di situ.

“Itu santapan pagi baginda seminggu sekali tetapi kalau singgah hari-hari menu akan bertukar jadi nasi lemak pula.

Rosnida
Rosnida

“Penghujung 2017 lalu, baginda mula mencemar duli ke sini. Pada mulanya saya terkejut tapi ada staf istana akan hubungi dua hari sebelum untuk maklumkan Tuanku nak datang.

“Orang besar dalam istana yang kenalkan kedai ini kepada Al-Sultan Abdullah. Jadi kami perlu buat persiapan sebelum baginda ke sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di restorannya di sini baru-baru ini.

Rosnida turut memaklumkan, dia dan pekerja berasa teruja ketika pertama kali Al-Sultan Abdullah mencemar duli berangkat ke restorannya dan mengakui keperibadian baginda sangat menyenangkan hati rakyat jelata.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sikap baginda yang mesra dan tidak terlalu mengamalkan protokol istana menjadi antara faktor utama yang membuatkan rakyat dekat dengan Al-Sultan Abdullah.

Sebagai pengusaha restoran, katanya, dia tetap memberikan layanan terbaik bagi menunjukkan rasa hormat terhadap Seri Paduka Baginda.

“Pengalaman saya mula-mula memang segan nak bergambar sebab Al-Sultan Abdullah sudah masuk kereta selepas selesai menikmati santapan pagi tetapi baginda sanggup turun semula dari kereta untuk bertemu dan merakamkan tanda kenangan bersama staf restoran.

“Al-Sultan Abdullah boleh faham isi hati kita. Baginda merendah diri dan istilah raja dan rakyat berpisah tiada sangat sesuai dengan dirinya,” tambahnya.

Justeru, Rosnida menjunjung kasih Al-Sultan Abdullah kerana sudi mencemar duli ke restorannya setiap berangkat pulang ke Istana Abdulaziz di Kuantan.

“Patik ucapkan selamat pulang ke Pahang semoga Tuanku berada dalam lindungan ALLAH SWT,” ujarnya lagi.

@sinarharianonline Ramai pasti tertanya-tertanya apakah menu kegemaran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Berikut antara santapan kegemaran baginda. #fyp#beritaditiktok#SinarTerkini#YDPA#DaulatTuanku#DirgayahuTuanku#AlSultan#LambaianKasih original sound - Sinar Harian