Istiadat Keberangkatan Balik yang tidak dapat dilupakan - Agong

A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka ke Pahang selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 hari ini sebagai peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat memastikan kelancaran istiadat perjalanan itu, yang jelas menyentuh hati serta perasaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kenderaan yang membawa Agong dan Raja Permaisuri diarak pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Foto Bernama

"Sambutan keberangkatan pulang bagi saya hari ini cukup ‘memorable’ dari Istana Negara ke Parlimen seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pelbagai petunjukan kebudayaan.

"...dan saya tiba di Kuantan dengan perasaan cukup terharu. Macam tidak percaya ini hari terakhir saya sebagai Yang di-Pertuan Agong," titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Tengah Hari Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Selasa.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong dan paduka-paduka anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Suasana hiba menyelubungi Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri melangkah ke pesawat yang akan membawa baginda berdua kembali ke Pahang. Foto Bernama

Turut hadir ialah pemimpin kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dalam istiadat itu.

Artikel Berkaitan:

Semasa bertitah, Al-Sultan Abdullah juga mencuit hati hadirin apabila secara spontan berseloroh menyifatkan sambutan terhadap Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini membuat Seri Paduka mengimbau kenangan hari perkahwinan dengan Tunku Azizah pada 1986.

Laungan 'Daulat Tuanku' mengiringi lambaian akhir Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa. Foto Bernama

"Saya pun rasa seperti pengantin," titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka seterusnya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan negeri yang terlibat menyusun upacara hari ini, dan menyifatkan jasa semua pihak terlibat hanya ALLAH yang dapat membalas.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diarak dengan diiringi dua ekor gajah bernama 'Alam' (kiri) dan 'Sanum' (kanan) kira-kira 500 Meter melalui Jalan Teluk Sisek ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Selasa. Foto Bernama

Berkongsi perasaan melangkah meninggalkan Istana Negara yang menjadi singgahsana Seri Paduka bersemayam sejak 31 Januari 2019 pada pagi tadi, Seri Paduka bertitah ia amat sayu dan banyak air mata yang menitis.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan supaya rakyat Pahang berbangga dengan pencapaian Sultan mereka yang telah melunaskan tanggungjawab terbaik untuk negara dan rakyat sejak menggalas amanah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Rakyat Pahang berkumpul bagi menyambut keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di sepanjang Jalan Mahkota sejak pagi, sebagai tanda 'selamat kembali' kepada Sultan dan Tengku Ampuan Pahang hari ini. Foto Bernama

"Mungkin sebilangan kecil tidak bersetuju dengan beberapa perkara keputusan saya buat, (namun) majoritinya adalah bersama (dengan) keputusan (yang) saya buat.

"Alhamdulillah rakyat Pahang masih rindu pada saya. Saya tidak pernah meninggalkan Pahang. Nadi dan jiwa sentiasa di sini, badan sahaja di sana (Istana Negara)," titah Seri Paduka. - Bernama