Al-Sultan Abdullah kongsi pengalaman bersama empat Perdana Menteri

Dari kiri, atas: Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Dari kiri, atas: Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

BERIKUT adalah petikan wawancara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkongsi rasa, kisah dan suka duka lima tahun baginda berdua bersama sekumpulan pengamal media di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Adakah terdapat apa-apa perkara yang Tuanku fikir boleh dilakukan dengan berbeza?

Yang di-Pertuan Agong: Saya tidak akan menjelaskan secara terperinci tetapi cukup untuk mengatakan bahawa ketika saya masuk, saya melihat bajet negara dari tahun ke tahun, telah meningkat.

Apabila saya masuk, Perdana Menteri kita ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiap kali saya mengadakan pertemuan dengannya, beliau selalu memberitahu saya bahawa kerajaan berada dalam kekangan kewangan.Pada masa itu. Kemudian, beliau pun kata tidak boleh berbelanja atau projek-projek yang besar dan sebagainya.

Malah, sehingga beberapa projek terpaksa dibatalkan.

Saya tidak akan menamakan projek tersebut.

Jadi saya faham keputusan beliau kerana saya pun baru masuk dan saya terima hakikat itu.

Artikel Berkaitan:

Apabila beliau letak jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih, saya dapati ceritanya lain pula.

Ada duit untuk belanja itu, belanja ini dan seterusnya.

Jadi saya pun nak kata, siapa yang benar atau siapa tidak benar, Wallahualam tetapi apa yang diumum di Parlimen, kita semua tahu.

Meningkat sedikit, dari tahun ke tahun.

Begitu juga perbelanjaan Covid-19, zaman kecemasan di mana saya juga tidak berapa puas hati apabila terpaksa tandatangan deklarasi kecemasan tempoh hari.

Oleh kerana kes Covid-19 semakin meningkat, saya terpaksa buat keputusan.

Kemudian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga, bajet begitu juga.

Ini semua menggambarkan seolah-olah keadaan kewangan dan dasar fiskal kerajaan agak baik.

Terdapat sedikit pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tidak tinggi tetapi kalau berbanding dengan negara-negara jiran, kita setanding.

Namun tidak sehebat seperti China atau negara besar lain.

Jadi apa yang sedang dibuat oleh Perdana Menteri sekarang adalah cuba untuk mengawal mana-mana ketirisan atau perbelanjaan besar.

Saya gembira melalui peranan kecil dengan mempamerkan peranan Yang di-Pertuan Agong, dalam konteks yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Dalam Perlembagaan mengatakan, Perkara 39 dari segi Kuasa Eksekutif Persekutuan, adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Tetapi Perkara 40, delegasi kuasa itu turun kepada Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

Jadi sedikit sebanyak dengan kuasa Agong iaitu melantik Perdana Menteri, memanggil Majlis Raja-Raja Melayu, boleh mengurniakan gelaran dan seterusnya.

Ini juga saya nak mengingatkan dalam Perkara 40(1) ada menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Ada juga disebut dalam itu, selain mendengar nasihat, Yang di-Pertuan Agong juga boleh mendapat mana-mana maklumat yang berkaitan dengan urus tadbir negara dalam Persekutuan.

Ini menunjukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong sangat besar, walaupun perlu mendapat nasihat tetapi boleh mendapat maklumat dan kemudian berbincang dengan Perdana Menteri.

Jadi, segala perkara berkaitan negara, Yang di-Pertuan Agong boleh mendapat maklumat daripada mana-mana pejabat atau kementerian.

Itu sahaja menunjukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong begitu luas walaupun tidak kira kuasa eksekutif tetapi cukup untuk melangsaikan atau melunaskan urus tadbir negara dalam konteks Perlembagaan yang dibenarkan.

Selain daripada itu, peranan Yang di-Pertuan Agong adalah menjadi 'Supreme Commander' (Pemerintah Tertinggi) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di sini, mungkin boleh diperkukuhkan lagi apakah peranan selain mengambil tabik hormat begitu sahaja, saya ingat mungkin boleh diperhalusi lagi peranan itu. Saya akan memberi pandangan sendiri dan saya tidak boleh dedahkan.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cadangan menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Suruhanjaya 'Honorary' (Kehormat), yang akan dibincang di Parlimen dalam masa yang terdekat.

Ini untuk formaliti sahaja supaya Agong boleh pakai uniform polis.

Selain itu, hal-hal dalam bidang agama yang boleh diperkukuhkan lagi dan sepanjang pemerintahan kita tengok ada sedikit perubahan dari segi struktur Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mana seorang sultan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu telah dilantik sebagai pengerusi untuk dua tahun. Dulu Perdana Menteri, sekarang Sultan Selangor.

Ini sesuai dengan peranan untuk seorang sultan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama bagi negeri-negeri.

Tuanku juga terkenal di pentas antarabangsa dan mempunyai hubungan baik dengan ketua negara asing, malah berperanan besar dalam membantu Malaysia meningkatkan pelaburan dan perdagangan serta isu kemanusiaan sejagat. Sepanjang lima tahun ini, adakah Tuanku berpuas hati atau masih ada yang tidak sempat dibuat untuk membantu negara?

Untuk dua tahun pandemik Covid-19, kita tidak buat apa-apa.

Saya mungkin hendak memberi pandangan sahaja.

Kadangkala saya fikir pertemuan dan mesyuarat ketua negara contohnya ASEAN, Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan sebagainya, mereka juga perlu pertimbangkan membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakili negara sebab ini adalah peringkat kebangsaan.

Saya kata itu kerana mungkin ia boleh dapat letak struktur Yang di-Pertuan Agong di peringkat antarabangsa (supaya) lebih dihormati.

Yang mana satu, itu terbuka pada perdebatan.

Kadangkala yang berkaitan dengan perubahan iklim atau kemanusiaan, ia mungkin boleh diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong. Tidak semestinya semua tetapi itu cuma pandangan saya.

Yang mana tadbir urus berkaitan kewangan atau keselamatan, itu mungkin boleh diwakili oleh Perdana Menteri atau menteri-menteri.

Saya tidak boleh hurai dengan lebih lanjut tetapi itu dipertimbangkan untuk jangka masa panjang. Kita semua menggambarkan sebuah negara yang baik pada masa ini.

Selain dari pergi ke kemangkatan atau pertabalan, itu formal sangat kadangkala.

Saya rasa kumpulan pemimpin yang kita ada pada hari ini, semuanya berpendidikan tinggi.

Saya harap itu menjawab persoalan.

Adakah Tuanku pernah membangkitkan perkara ini atau dibincangkan di mana-mana peringkat?

Tidak pernah, ini pertama kali dibangkitkan tetapi sudah di pemikiran saya sepanjang lima tahun.

Itu hanya pandangan saya sahaja untuk kita bincangkan dan sebagainya.

Permaisuri: Saya juga ingin katakan sesuatu.

Tuanku dengan masalah negara, empat Perdana Menteri dengan banyak lagi perkara.

Saya rasa saya paling gembira apabila dia sudah pulang. Ya betul.

Biasanya buat dia pening kepala, sebab itu sebelah pihak itu mesti sentiasa tenang.

Jadi suri permai.

Baru-baru ini Tuanku panggil saya ampuan suri pula. Main-main nama.

Jujurnya kita berdua ada peranan.

Saya tidak pernah buka pun buku itu.

Tuanku baca kertas Kabinet pun saya tidak masuk campur.

Saya kadang-kala ada tanya juga Tuanku pengalaman empat Perdana Menteri.

Macam mana tiap-tiap Perdana Menteri semasa pra-Kabinet, tetapi Tuanku tidak cerita pada saya.

Yang di-Pertuan Agong: Tetapi keempat-empat Perdana Menteri itu semua berpengalaman.

Kalau tengok latar belakang, semua ada dalam kerajaan untuk beberapa tahun. Siapalah saya.

Mula-mula saya masuk, saya tanya diri saya.

Mereka semua dah berpengalaman.

Saya tidak berpengalaman.

Saya jadi Sultan untuk 15 hari sahaja, kemudian menjadi agong.

Jadi kamu semua kena faham dari mana asal saya. Saya bukan menjadi sultan untuk berbelas tahun.

Sultan untuk berbelas hari kemudian terus jadi Agong.

Banyak benda yang saya tidak tahu, jadi saya terpaksa bertanya, mempelajari dan membaca.

Saya harap saya dapat menjawab segala soalan sedikit sebanyak dan ini bukan mudah untuk menjadi raja. Memang keadaan pada masa akan datang pun akan lebih mencabar.

Saya boleh dapat bayangkan.

Tetapi cabaran itu bagus untuk raja. Rata-ratanya rakyat melihat Tuanku sentiasa tenang semasa berdepan cabaran-cabaran ini.

Bagaimana Tuanku boleh setenang sedemikian?

Alhamdulillah, saya dididik supaya banyak bersabar dan apabila kita sembahyang, kita banyak berzikir dan sebagainya.

Ini sedikit sebanyak membantu.

Saya bukan nak kata saya ini warak sangat tetapi amalan-amalan yang kita buat selama ini sekurang-kurangnya menenteramkan, itu yang benar.

Kalau ada mana-mana yang ragu-ragu, kita bersabar dulu dan bergerak ke hadapan.

Itulah bagaimana saya mengendalikan situasi.

Tuanku telah menjunjung tinggi semangat syura (perundingan) dalam kalangan saudara Raja-raja semasa Tuanku berada di Istana Negara. Mengapa ini penting?

Itu satu soalan yang bagus.

Apabila saya mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya sedar iaitu lantikan saya ini dengan perkenan oleh Majlis Raja-Raja.

Jadi, apa sahaja yang saya lakukan, pada masa yang sama saya bertindak bagi pihak Majlis Raja-Raja.

Ya, semua keputusan adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong, cuma apa yang saya buat ialah saya menyatakan apa-apa isu, saya bermusyawarah, berbincang, menerima pandangan dan cadangan tetapi keputusan itu datang dari Yang di-Pertuan Agong sendiri. Itu sahaja yang saya buat.

Itu bukan keputusan Majlis Raja-Raja, bila sampai pada tahap Perdana Menteri atau apapun, ia adalah pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Bukan Majlis Raja-Raja.

Saya ingin perbetulkan di sini. Jangan salah tulis.

Lantikan Perdana Menteri adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Saya bincang, dengar pandangan dan saya memaklumkan keputusan saya. Itu sahaja.

Adakah Kerajaan Perpaduan ini dicadangkan oleh Tuanku? Atau adakah ia antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang dan membuat keputusan?

Idea bila Kerajaan Perpaduan mula-mula dibincangkan bukan baru-baru ini.

Saya ingin mengatakan di sini bahawa ia adalah sejak semasa Ismail Sabri lagi.

Kemudian saya telah memanggil semua pemimpin.

Pada masa yang sama, Sultan Perak juga ada, supaya ditubuhkan satu Kerajaan Perpaduan.

Walaupun ketika itu Ismail Sabri kata dia ada majoriti sokongan 114 atau 116 kerusi, tetapi saya fikir ia masih lagi sangat marginal (sedikit).

Ia lebih sihat jika ia dua pertiga atau lebih dari marginal majoriti.

Jadi Kerajaan Perpaduan diwujudkan pada masa itu.

Bila sampai ke pilihan raya ini, saya hendak satu keadaan harmoni dalam negara kita ini.

Seharusnya ia bermula dari Parlimen lagi, kita tidak boleh terus bergaduh atau berlainan pemikiran.

Kita nak majukan dan meningkatkan nama baik negara kita.

Berbalik kepada selepas pilihan raya, ketika itu tidak ada majoriti tunggal.

Jadi apa yang saya buat adalah tawar kepada semua parti dan saya mulakan dengan pimpinan Muhyiddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Saya tak nak bangkitkan lagi tetapi kerana dia tolak sebulat-bulatnya.

Apa lagi pilihan yang saya ada? Jadi kena stabil, siapa yang boleh mewujudkan kerajaan.

Saya juga maklum kepada Anwar ketika itu, tawarkan juga kepada parti Muhyiddin dan Pas tetapi apakan daya, sekadar apa yang boleh saya buat.

Selebihnya itu, terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin politik.

Niat saya itu sahaja, kalau boleh saya nak semua sekali parti dijadikan satu kerajaan yang kuat dan kukuh supaya kita boleh meneruskan pembentukan kerajaan yang stabil dan negara yang berjaya.

Namun saya harap ini masih lagi boleh diusahakan. Kita tidak boleh menyerah.

Soal siapa Perdana Menteri, itu terpulang kepada pucuk pimpinan.

Bukan Yang di-Pertuan Agong yang memilih Perdana Menteri.

Sebenarnya yang memilih adalah wakil rakyat, mereka akan cadangkan nama, bukan Agong.

Jadi, tolong dapatkan fakta yang betul.

Agong tidak boleh melantik Perdana Menteri sewenang-wenangnya.

Kalau begitu, senang tak payah ada Parlimen.

Kita sudah bahagikan macam mana kuasa Agong, kuasa legislatif, jadi itu yang saya lunaskan.

Apakah Tuanku melihat Kerajaan Perpaduan ini menepati hasrat Tuanku terutamanya dari sudut ekonomi dan perpaduan antara rakyat di Malaysia?

Bukan senang untuk kita ukur dalam masa setahun, saya ingat mana-mana kerajaan atau Perdana Menteri pun, kalau beri ukuran setahun, sudah tentu masih lagi ada kelemahan di sini dan di sana.

Jadi apa yang Perdana Menteri cuba buat adalah mengurangkan atau kalau boleh dimansuhkan segala masalah-masalah legasi, kalau boleh.

Itu utamanya. Dalam setahun, mungkin tidak boleh buat dengan sewenang-wenangnya.

Ia berlandas pada peraturan, kontrak dan sebagainya.

Namun yang penting adalah kerajaan hari ini perlu ada 'master plan' jangka panjang, lima tahun, 10 tahun dan selepasnya.

Kita tahu ada banyak perancangan.

Antaranya ialah mungkin ada juga dasar-dasar yang mungkin tidak popular tetapi kadangkala kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular untuk kebaikan negara masa akan datang.

Saya harap ini kerajaan perlu telus memberi kefahaman kepada rakyat di luar sana.

Dari segi jangka panjang macam mana.

Kalau zaman dahulu, mantan Perdana Menteri ada kata hendak buat 'high income nation' (negara berpendapatan tinggi) dan seterusnya.

Macam Perdana Menteri sekarang, dia hendak mengurangkan subsidi. Subsidi bersasar.

Itu satu dasar yang agak drastik.

Saya pun memahami perasaan orang di bawah ini.

Sebenarnya bukan untuk mengambil hak B40 tetapi lebih kepada orang yang di atas. Itu hasrat utama yang sebenar.

Ini semua adalah pembaharuan yang cuba hendak diperkenalkan dan kita harus memberi masa untuk tengok kebaikan dan keburukan ini.

Bagaimana Tuanku melihat peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong sekarang yang bukan saja dilihat sebagai simbol perpaduan negara?

Saya rasa institusi ini begitu penting bagi negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama ini.

Saya fikir kita perlu ada institusi ini dan itu mesti ditegakkan demi anak bangsa dan generasi akan datang.

Kalau boleh ia diperkukuhkan lagi, bukan dengan memberi lebih kuasa tetapi maknanya kalau ia boleh diperkukuhkan, maka kita perlu buat. Bukan individu itu perlu diperkukuh, tetapi institusi itu sendiri. Jadi jangan salah faham.

Agong akan datang dan pergi.

Selepas lima tahun, akan berangkat balik dan pulang ke negeri asal.

Jadi institusi ini bukan perlu didewakan tetapi diperkukuhkan supaya sistem ini kekal memayungi rakyat dan pentadbiran.

Ia juga perlu difahami oleh bakal Agong yang akan datang dan lebih dari itu.

Tuanku pernah menyatakan hendak memperkukuhkan institusi, apa yang mungkin boleh dipertingkatkan? Itulah kalau saya cakap, nanti dikata Agong hendak kuasa lebih.

Bukan saya mahu diberi kuasa lebih tetapi ringkas sahaja, di sekolah beri didikan kepada anak muda, seperti dulu.

Beri sejarah peranan raja-raja dan pemimpin. Jangan sebelah pihak sahaja.

Dahulu ada semasa di sekolah, sekarang sudah tidak ada.

Bagikan sejarah susunan, adakan diskusi raja-raja dan institusi supaya dapat memperkukuhkan.

Tetapi bukan hendak suruh menghentam, itu saya rasa kita semua cuba untuk bertindak di bawah lingkungan Perlembagaan.

Raja-raja juga, perlu tahu peranan mereka.

Saya bukan kata saya hendak katakan diri sempurna tetapi saya ingin menasihatkan diri saya dan raja-raja lain juga supaya kita semua perlu tahu peranan kita menyantuni rakyat lebih dekat, mendengar masalah, bantu rakyat dan seterusnya.

Jadi kita harap pada yang muda-muda.

Dampingilah istana dan institusi istana, jangan jauhi sebab itu semua hak rakyat.

Selepas Langkah Sheraton, kini timbul pula Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan.

Apakah rakyat perlu terus hidup dalam ketidaktentuan politik ini?

Kita tidak seharusnya hidup seperti itu.

Kita tidak sepatutnya membuat apa-apa spekulasi.

Saya tidak tahu sama ada itu benar atau tidak tetapi mari kita melangkah ke hadapan (move on).

Kerajaan kena memimpin dan terus mentadbir urusan negara. Jangan berpolitik sangat.

Kepada semua ahli politik, kurangkan berpolitik.

Elok fokus dalam memajukan ekonomi negara, mengharmonikan rakyat dan menyatukan rakyat semua kaum.

Jangan menjadi terlalu berfikiran sempit.

Itulah antara nasihat keramat saya.

Saya juga berasa sedih hendak tinggalkan rakyat kerana rakyat tidak bersatu.

Saya harap ini dapat diusahakan secara berterusan.

Ada juga segelintir rakyat yang mungkin tidak menghormati dan kadangkala yang membangkitkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R). Apakah nasihat dan pandangan Tuanku kepada rakyat?

Saya fikir jangan keterlaluan, biarlah ada batas.

Saya memahami kadang-kala banyak perasaan tidak senang tetapi buatlah dengan cara yang berpatutan.

Jangan suka-suka melontarkan fitnah dan kata-kata kesat, itu tidak molek di kaca mata orang awam.

Kita cuba setiap tahun menonjolkan elemen-elemen beradab dan sopan, jadi kita kena patuh.

Jangan ikut cara Barat atau kaum-kaum lain.

Kita mempunyai kesopanan dan itu ternyata dalam Rukun Negara kita.

Jadi kita perlu ikut apa yang nenek moyang mengajar kita.