OKU lumpuh ditahan edar dadah

Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis pil kuda yang dirampas dalam tangkapan di Pasir Mas.
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis pil kuda yang dirampas dalam tangkapan di Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) lumpuh ditahan kerana dipercayai mengedar 2,027 dadah jenis pil kuda di Jalan Bukit Tuku, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua suspek yang berusia 21 tahun ditahan dalam sebuah kereta jenis Honda Civic pada jam 6.40 petang.

Menurut beliau, kedua-duanya ditahan ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Pasir Mas melakukan rondaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai 2,027 pil kuda dianggarkan seberat 221.67 gram bernilai kira-kira RM 22,305 dalam kereta berkenaan.

“Turut dijumpai sebiji pil erimin 5,” katanya pada sidang akhar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, diadakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kelantan Siri 1/ 2024.

Dadah jenis pil kuda yang ditemui.
Dadah jenis pil kuda yang ditemui.

Ujar Muhamad Zaki, ujian saringan dilakukan terhadap mereka mendapati kedua-dua positit dadah jenis metamphetamine.

Artikel Berkaitan:

“Semakan mendapati suspek OKU mempunyai lima rekod lampau berkait dadah manakala rakannya tiga rekod jenayah sama.

“Dadah dan kereta yang bernilai RM10,000 dirampas untuk siasatan sementara mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin ini,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, dalam kes berasingan, sepasang suami isteri ditahan dalam sebuah kereta kerana dipercayai mengedar 2,280 pil kuda kira-kira 246.06 gram (g) dan ganja seberat 3.9g di hadapan sebuah klinik di Tendong, Bunut Susu, di sini, pada jam 6.30 petang Khamis lalu.

Kata Muhamad Zaki, ketika serbuan lelaki berusia 26 tahun itu keluar dari kereta jenis Perodua Kelisa dan meletakkan bungkusan plastik berwarna hijau ke tanah.

“Pemeriksaan polis ke atas plastik itu menemukan dadah-dadah berkenaan.

“Kesemua dadah termasuk kereta dirampas untuk siasatan lanjut dan suspek bersama isteri yang berusia 25 tahun itu dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini,” kata beliau.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 kerana mengedar dadah.