Najib diampunkan? Menteri minta tunggu kenyataan rasmi

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa enggan mengulas lanjut berhubung spekulasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan.

Beliau sebaliknya meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan atau sebaliknya.

Zaliha yang juga salah seorang anggota lembaga berkenaan memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan, namun tidak menyatakan secara terperinci mengenainya.

Menurutnya, buat masa ini beliau tidak boleh mengulas lebih mendalam mengenai mesyuarat yang berlangsung di Istana Negara itu memandangkan ia perkara sulit.

Sementara itu, memetik laporan Utusan Malaysia, Najib dikatakan telah mendapat pengampunan oleh Lembaga Pengampunan pada Isnin.

Akhbar tersebut pada hari sama turut melaporkan Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Isnin dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan difahamkan salah satu agenda mesyuarat adalah mengenai pembebasan Najib.

Dalam pada itu, Utusan Online dalam kemas kini terbaru diportalnya memaklumkan laporan mengenai pengampunan Najib yang disiar sebelum ini ditarik balik.

Ia susulan terdapat fakta mengenai laporan berkenaan yang tidak dapat disahkan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Ogos 2022 lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Najib juga diarah menjalani hukuman penjara pada hari sama hakim membuat keputusan tersebut, sekali gus menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama dipenjarakan.

Ketika ini, Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 76.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas presiden UMNO itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili bekas Presiden UMNO ini gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, dia dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta, manakala tiga lagi pertuduhan pecah amanah dan tiga kes pengubahan wang haram, dia dihukum penjara masing-masing 10 tahun.

Kesemua hukuman penjara itu ialah berjumlah 72 tahun, namun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak iaitu Najib dipenjara selama 12 tahun.

Tanpa berlengah, Najib merayu atas hukuman tersebut, namun Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib pada 8 Disember 2021.