Spekulasi pengampunan Najib tidak berasas - Peguam

Najib (tengah)
Najib (tengah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu bahawa laporan berhubung Kuasa Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu, dalam kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh sebuah media antarabangsa sebagai suatu spekulasi yang tidak berasas.

Menerusi kenyataan akhbar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menyatakan, pihaknya tidak mengetahui identiti sumber yang tidak dinamakan portal berita, Channel News Asia (CNA) tersebut.

Muhammad Shafee yang turut mengetuai pasukan pembelaan Najib dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, laporan itu menimbulkan isu sensasi sehingga menyibukkan pelbagai pihak termasuk media tempatan.

"Najib sendiri tidak tahu tentang dakwaan media tersebut, jadi pasukan pembelaan mengingatkan pihak media dan orang ramai bahawa Kuasa Pengampunan dalam kes ini, merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagai suatu yang tidak terikat dan bersifat mutlak.

“Oleh itu, adalah tindakan yang tidak hormat untuk meneka aktiviti Lembaga Pengampunan, yang sifat kerjanya mesti dijalankan secara rahsia untuk berkesan dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Pelanggaran kerahsiaan juga boleh dikatakan melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai langkah yang diambil oleh Lembaga Pengampunan berkaitan petisyen pengampunan bekas Ahli Parlimen Pekan ini.

Menurutnya, persidangan setiap Lembaga Pengampunan dijalankan secara rahsia di peringkat tertinggi, malah nama-nama ahli yang terlibat mahupun tarikh persidangan, tidak akan dihebahkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, umum hanya mengetahui bahawa ahli tetap Lembaga Pengampunan ialah Yang di-Pertuan Agong, Menteri Wilayah Persekutuan (dalam perkara Pengampunan Wilayah Persekutuan) dan Peguam Negara.

“Nama ahli boleh berubah, sentiasa dirahsiakan dan tidak pernah didedahkan maka, jika Lembaga Pengampunan bersidang untuk menimbangkan permohonan pengampunan Najib, ia akan dijalankan secara tertutup kerana dikawal oleh Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Menurut artikel CNA itu, ia menyatakan kononnya Yang di-Pertuan Agong akan menentukan sama ada pengampunan diraja akan diberikan kepada bekas pemimpin UMNO ini dalam masa terdekat," katanya.

Susulan itu, peguam itu berkata, menjadi suatu yang janggal apabila penulis artikel tersebut menyatakan, Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Disember tahun lalu, tetapi ditangguhkan ke bulan ini (Januari) untuk bersidang semula.

Muhammad Shafee berkata, petisyen pengampunan Najib telah diserahkan kepada Lembaga Pengampunan melalui Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Putrajaya pada 1 Januari 2022.

Katanya, ia diikuti adendum atau penambahan pada 18 Oktober 2022 dan 20 April 2023 yang mengandungi maklumat lanjut untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong berhubung petisyen pengampunan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga hampir penghujung tahun lalu, pihak pembelaan Najib tidak menerima sebarang berita berhubung petisyen berkenaan.

Katanya, Najib kemudiannya mengarahkan pihak peguam supaya mengingatkan BHEUU pada 4 Disember tahun lalu, sedangkan petisyen itu telah difailkan lebih 16 bulan malah pemimpin berusia 71 tahun ini telah dipenjarakan selama setahun dan empat bulan.

"Selaku peguam, kami lebih bimbang dengan kedudukan anak guam, memandangkan satu-satunya alasan untuk memohon pengampunan adalah atas dasar bahawa beliau tidak pernah menerima perbicaraan yang adil," katanya.

Pada Rabu, sebuah lortal berita CNA membuat spekulasi berita bertajuk 'Malaysia set to decide on jailed former PM Najib's high-stakes bid for royal pardon' oleh Leslie Lopez.

Media berkenaan melaporkan, Lembaga Pengampunan dijadual membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini.

Menurut laporan itu, permohonan oleh bekas Perdana Menteri yang sedang dipenjarakan tersebut akan didengar dalam sesi lembaga yang dijadualkan pada minggu ketiga Januari.

Ini selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat bulan lalu kerana lembaga enam anggota memutuskan bahawa mereka memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan.

Mesyuarat yang akan datang itu akan menjadi antara tugas terakhir Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada akhir bulan ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!