Rakyat Pahang teruja sambut keberangkatan balik Agong, Raja Permaisuri

Jaariah memenuhi permintaan cucunya, Nurul Auni Batrisya (tengah) untuk melihat secara dekat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di PU Kuantan.
Jaariah memenuhi permintaan cucunya, Nurul Auni Batrisya (tengah) untuk melihat secara dekat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di PU Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Rakyat Pahang meluahkan rasa bertuah kerana berpeluang menyambut keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pangkalan Udara (PU) Kuantan pada Selasa.

Mereka juga teruja kerana dapat menyaksikan secara dekat Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Seri Paduka Baginda tamat menjalankan tugas sebagai ketua negara selama lima tahun.

Seorang warga emas, Jaariah Ahmad, 67, berkata, kehadirannya ke PU Kuantan adalah semata-mata untuk memenuhi permintaan cucunya, Nurul Auni Batrisya Mohd Sahiful, 10, yang mahu melihat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah secara dekat.

Dia yang menetap di Pantai Sepat tiba seawal jam 9 pagi, tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan istiadat keberangkatan balik di sini.

“Saya berjalan kira-kira 500 meter untuk masuk ke dalam (dataran PU Kuantan) selepas meletakkan kenderaan di masjid berhampiran.

"Syukur sangat sebab berpeluang untuk turut serta dalam istiadat ini dan dapat bersua muka dengan Seri Paduka Baginda berdua,” katanya ketika ditemui di dataran PU Kuantan di sini pada Selasa.

Kira-kira 10,000 rakyat hadir menyambut keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Antara yang hadir termasuk 40 murid Tahun Enam dan empat guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Guru sekolah terbabit, M Thiagaselan, 48, berkata, kesemua murid yang terlibat telah merakamkan rasa teruja kerana ini pertama kali hadir ke majlis seumpama itu.

Thiagaselan bersama murid SKJT Bandar Indera Mahkota, hadir ke istiadat keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di PU Kuantan.
Thiagaselan bersama murid SKJT Bandar Indera Mahkota, hadir ke istiadat keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di PU Kuantan.

Katanya, mereka juga boleh mempelajari banyak perkara termasuk kedaulatan raja dan memupuk semangat setia kepada negara sebagaimana yang dipelajari dalam mata pelajaran Sejarah.

"Murid-murid boleh melihat sendiri raja, permaisuri, adat ini mungkin selama ini, mereka hanya melihat dalam buku teks.

"Tapi hari ini mereka melihat secara visual, melihat Tuanku dengan pakaian rasmi dan adat istiadat. Ini mungkin boleh memberikan semangat kepada mereka tentang Daulat Tuanku," katanya.

Sementara itu, pegawai eksekutif, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Noor Farhana Shafeei, 37, berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sentiasa dekat dihati rakyat.

"Jadi kita sama-sama memeriahkan dan menyambut kepulangan Seri Paduka Baginda," katanya