18,837 calon duduki SPM di Pulau Pinang, 20,271 di Pahang

Seramai 18,837 calon menduduki peperiksaan SPM di Pulau Pinang bagi tahun 2023.
Seramai 18,837 calon menduduki peperiksaan SPM di Pulau Pinang bagi tahun 2023.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 18,837 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pulau Pinang bagi tahun 2023.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, daripada jumlah itu, tiga pelajar menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

Menurutnya, seramai 17,241 pelajar dari sekolah kerajaan, 435 pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan agensi kerajaan lain.

"Seramai 159 pelajar (duduki peperiksaan itu) di sekolah agama, sekolah swasta (158), persendirian (764) dan sekolah agama rakyat (80).

"Bagi tahun ini, tiada peperiksaan ulangan untuk pelajar yang terkesan dengan Covid-19 seperti yang dilaksanakan sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Hari Pertama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di sini pada Selasa.

Beliau menambah, sebanyak 161 buah pusat peperiksaan dan pengurusan disediakan di seluruh Pulau Pinang.

"Daripada jumlah tersebut, 145 di sekolah serta 16 di hospital kerajaan dan swasta.

"Seramai 1,982 orang petugas peperiksaan ditugaskan pada SPM bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini terdiri daripada guru-guru sekolah, petugas sukarelawan dan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu di PAHANG, seramai 20,271 calon peperiksaan SPM 2023 di negeri ini menduduki ujian bertulis di 258 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Amzan (dua dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada calon SPM dari SMK Sultanah Hajjah Kalsom di sini sebelum memasuki dewan peperiksaan pada Selasa.
Amzan (dua dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada calon SPM dari SMK Sultanah Hajjah Kalsom di sini sebelum memasuki dewan peperiksaan pada Selasa.

Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek berkata, daripada jumlah itu, 17,250 calon dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Maktab Rendah Sains Mara (832 calon), Sekolah Menengah Agama Negeri (1,231 calon), swasta (248 calon), persendirian (622 calon) dan Sekolah Agama Rakyat (88 calon).

Menurutnya, seramai lima calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital termasuk dua di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) dan masing-masing satu calon di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pusat Kusta Negara.

"Bagi calon berkeperluan khas, seramai 169 calon akan mengambil peperiksaan bertulis bermula hari ini.

"Mereka terdiri 64 calon mengalami masalah rabun, masalah pembelajaran (58 calon), fizikal (30), pendengaran (7 calon), pertuturan (3 calon), buta (2 calon) dan pelbagai (5 calon)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau hari pertama ujian bertulis peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Sultanah Hajjah Kalsom di sini pada Selasa.

Amzan memberi kata-kata semangat kepada calon SPM dari SMK Sultanah Hajjah Kalsom di sini sempena hari pertama ujian bertulis SPM 2023 pada Selasa.
Amzan memberi kata-kata semangat kepada calon SPM dari SMK Sultanah Hajjah Kalsom di sini sempena hari pertama ujian bertulis SPM 2023 pada Selasa.

Amzan berkata, secara keseluruhannya, seramai 2,184 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPM di Pahang kali ini.

"Mereka terdiri 1,319 pengawas peperiksaan, ketua pengawas (258),timbalan ketua pengawas (258), penyelia kawasan dan sukarelawan peperiksaan (274)," katanya.

Dalam pada itu di PERAK pula, seramai 31,411 pelajar menduduki peperiksaan SPM 2023 yang bermula pada Selasa sehingga 7 Mac depan.

Daripada jumlah itu, seramai 30,097 merupakan calon sekolah manakala 1,314 lagi calon persendirian.

Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, peperiksaan kali ini turut merekodkan 119 pelajar dikenal pasti sebagai calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK).

Menurutnya, pelajar CBPK tersebut membabitkan kategori masalah pembelajaran seramai 40 orang, kurang upaya pelbagai (8), kurang upaya pertuturan (4), kurang upaya fizikal (38), kurang upaya pendengaran (22) dan kurang upaya penglihatan (7).

"Tahun ini seramai tujuh calon menduduki peperiksaan di hospital iaitu tiga di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala masing-masing seorang di Hospital Batu Gajah, Kuala Kangsar, Taiping dan Hospital Pakar KPJ Ipoh.

"Saya dimaklumkan kesemua calon ini dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan dan kemalangan serta menerima rawatan kesihatan yang agak lama," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Ipoh di sini pada Selasa.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran, seramai 2,399 petugas peperiksaan ditempatkan di semua 323 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Katanya, jumlah itu termasuklah 430 pengawas sukarelawan dalam kalangan orang awam yang dilantik buat pertama kali di bawah Kementerian Pendidikan.

"Mereka ini turut ditempatkan di seluruh negeri bagi membantu tugas pengawas peperiksaan seperti melakukan imbasan kepada calon sebelum memasuki dewan peperiksaan," katanya.

SPM 2023 di Perak melibatkan 27,873 calon dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala 1,332 calon sekolah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja dan sekolah perintis tentera.

Calon sekolah agama negeri pula merekodkan 83 orang, calon sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan seramai 283 orang dan calon sekolah menengah agama rakyat membabitkan 546 orang.