'Kenaikan tarif air tidak bebankan pengguna B40'

Ahmad Samsuri (tengah) selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi/Timbalan Pengerusidan Ahli Lembaga Rayuan Terengganu sesi 2019-2022 di sini, hari ini. Foto: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ahmad Samsuri (tengah) selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi/Timbalan Pengerusidan Ahli Lembaga Rayuan Terengganu sesi 2019-2022 di sini, hari ini. Foto: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu belum memutuskan kadar baharu tarif air di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, kadar baharu tarif air tidak akan membebankan pengguna dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memberi komitmen berhubung kenaikan kadar tarif air sebagaimana yang disarankan kerajaan Persekutuan.

"Kita telah berbincang dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengenai perkara ini dan pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju menerima kenaikan tarif itu walaupun tidak sama dengan negeri lain.

"Bagaimanapun, kadar kenaikan itu masih dalam pertimbangan dan belum diputuskan lagi setakat ini. Apa yang pasti ia tidak memberi bebanan kepada pengguna dalam kalangan B40 kerana memberi tumpuan lebih kepada industri berskala besar," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kadar tarif air di Terengganu adalah antara paling lama tidak disemak sejak 20 tahun lalu.

"Kenaikan tarif air di bawah seliaan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan negeri ini paling lama tidak pernah membuat kajian mengenai kenaikan tarif air," katanya.

Artikel Berkaitan: